SKUAD wanita negara yang beraksi di Chonburi. — FOTO Persatuan Bolasepak Malaysia
SKUAD wanita negara yang beraksi di Chonburi. — FOTO Persatuan Bolasepak Malaysia
Meor Riduwan Meor Ahmad


PASUKAN wanita negara bermula langkah kiri apabila tunduk 0-3 di tangan Filipina pada perlawanan pertama Kejuaraan Wanita AFF di Chonburi, Thailand, petang tadi.

Tiga gol diperoleh lawan menerusi sepakan percuma nyata mengundang kecewa ketua jurulatih, Jacob Joseph yang sedih melihat aksi longlai anak buahnya.

Menurutnya, biarpun pemain negara menguasai 20 minit pertama, mereka seolah-olah hilang arah apabila lawan mendahului pada minit ke-40 menerusi tampanan mudah Camille Rodriguez selepas sepakan percuma terkena palang dan gagal didakap kemas penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan.

“Memang saya kecewa sebab pemain gagal mengikut taktikal dan arahan diberikan. Sebelum perlawanan lagi saya pesan supaya pemain awasi lawan dan tidak beri ruang.

“Tapi mereka beri terlalu banyak ruang malah tidak menjaringkan gol biarpun ada beberapa peluang berbanding lawan,” katanya.

Jacob berkata, beliau akan melakukan sedikit rombakan bagi perlawanan kedua menentang Singapura, Isnin ini.

Filipina memperoleh gol kedua hasil percubaan pemain pertahanan, Hali Long yang menanduk masuk sepakan percuma dari sebelah kiri pada minit ke-51.

Camille sekali lagi bijak meloloskan diri dalam kawasan penalti sebelum merembat masuk sepakan percuma yang gagal ditumbuk kemas Nurul Azurin dan jatuh betul-betul di hadapannya pada minit ke-60.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 9:16 PM