Pemain Melaka, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (kiri) bersama kapten, Muhammad Shukor Adan (tengah) menyekat kemaraan pemain PDRM, Patrick Ronaldinho. FOTO NSTP/RASUL AZLI SAMAD
Pemain Melaka, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (kiri) bersama kapten, Muhammad Shukor Adan (tengah) menyekat kemaraan pemain PDRM, Patrick Ronaldinho. FOTO NSTP/RASUL AZLI SAMAD
Nazri Abu Bakar


KEBANGKITAN babak kedua membolehkan Melaka United (MU) mengatasi PDRM 3-1 pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Terikat 1-1 pada babak pertama menyaksikan Melaka sedikit cemas menerusi saingan getir The Cops sepanjang 45 minit yang mendebarkan lebih 3,000 penyokong tuan rumah.

Malah PDRM berjaya mencetak gol pertama seawal me-8 menerusi sepakan kencang Lee Chang Hoon selepas mengutip hantaran lintang Shahurain Abu Samah.

Jaringan itu mengejutkan tuan rumah yang pantas berusaha melakukan asakan bagi menutup kelebihan pelawat.

Hasilnya tiga minit selepas itu gol penyamaan Melaka berjaya dihasilkan dengan menarik menerusi sepakan percuma Nazrin Nawi untuk mengikat kedudukan.

Namun malang buat skuad Hang Tuah selepas penyerang utamanya Davy Angan terpaksa dikeluarkan empat minit selepas jaringan terbabit akibat kecederaan.

Apapun mereka terus mencuba menerusi rembatan deras bekas kapten kebangsaan Safiq Rahim pada minit ke-30 namun ditepis keluar penjaga gol See Tian Keat.

Saingan seimbang pada 45 minit membuktikan tanpa empat tonggak akibat pengantungan perlawanan bukan halangan buat PDRM memberi cabaran agresif kepada lawan.

Bekas penyerang kebangsaan Fakrul Aiman Sidid melepaskan peluang menambah jaringan buat The Cops pada m-44 selepas rembatannya sedikit tersasar ke kiri gawang lawan ketika barisan pertahanan Melaka sudah tertewas.

Babak kedua menyaksikan saingan lebih menarik buat kedua-dua pasukan yang sering berbalas serangan namun dua percubaan Luka Milunovic pada m-47 dan m-49 gagal memecah kubu pelawat.

Tandukan kencang Patrick Ronaldinho pada m-48 hampir menambah jaringan kedua The Cops namun berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Ahmad Solehin Mamat.

Melaka bangkit lebih positif untuk meraih mata maksimum bermula dengan jaringan kedua menerusi tolakan Patrick Raichelt pada m-54 selepas menerima hantaran Safiq.

Gol terbabit terus meletakkan keyakinan tinggi buat Melaka dengan Nazrin sekali lagi menghadiahkan jaringan kedua buat skuadnya pada minit ke-61 selepas menyambut hantaran Wan Amirul Afiq.

Keputusan terbabit memberi kelegaan buat pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan dalam buruan satu slot ke suku akhir.

Bagi jurulatih The Cops, E Elavarasan pastinya akan menyediakan skuad lebih mantap bagi mengharungi perlawanan kedua berdepan FELDA United Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 11:34 PM