SYAKILLA perlu turunkan berat badan. — FOTO Instagram syakillasalni
SYAKILLA perlu turunkan berat badan. — FOTO Instagram syakillasalni
BERNAMA

RATU karate negara Syakilla Salni Jefry Krisnan berkemungkinan besar akan bertanding dalam acara kumite bawah 55kg pada Sukan SEA Filipina 2019 hujung tahun ini.

Sebelum ini, Syakilla diminta oleh Majlis Sukan Negara (MSN) supaya menurunkan berat untuk bersaing bagi kategori bawah 55kg selepas bekas juara Sukan Asia Incheon 2014 itu mengalami peningkatan berat badan melebihi 60kg.

Penetapan itu juga sebagai syarat bagi memenuhi kehendak atlet itu untuk berlatih di bawah kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Andris Vasiljevs dari Latvia di Phuket, Thailand.

Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, atlet berusia 27 tahun itu kini hanya perlu menurunkan beberapa kilogram daripada berat badan sebelum 15 Ogos ini, supaya keputusan muktamad mengenai penyertaannya ke Sukan SEA 2019 dapat dilakukan.

“Pada 15 Ogos ini, kami akan buat ketetapan (pembabitan Syakilla ke Sukan SEA 2019) sama ada bawah 61kg atau 55kg, salah satu.

“Mungkin dia (Syakilla) pun dah buat latihan, latihan yang bagus, kerana sasaran Menteri (Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) untuk dia ke Olimpik, tapi kalau boleh kami hendak bawa pulang pingat dari Sukan SEA juga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada temasya Kuala Lumpur 2017, skuad karate negara muncul juara keseluruhan selepas meraih tujuh pingat emas, dua perak dan empat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 12:28 AM