DANIELE De Rossi.
DANIELE De Rossi.
AFP

BEKAS pemain skuad Itali Daniele De Rossi menandatangani kontrak setahun bersama Boca Juniors, umum kelab gergasi Argentina itu di akaun Twitter mereka awal pagi tadi.

De Rossi yang menyambut ulang tahun ke-36 dua hari lalu, menamatkan kariernya selama 18 tahun di kelab tempat kelahirannya Roma pada akhir musim musim lalu.

Pemenang Piala Dunia 2006 itu beraksi dalam 615 perlawanan bersama kelab Itali itu, menjaringkan 61 gol dalam semua kejohanan.

Hanya legenda kelab itu, Francesco Totti tampil dalam lebih banyak perlawanan bersama mereka.

De Rossi tiba di Buenos Aires pada Jumaat dan dijangka bakal diperkenalkan secara rasmi kepada media di stadium ikonik Boca, Bombonera pada Selasa.

"Daniele De Rossi menandatangani kontrak selama semusim dan taruhan terbaharu #Boca,” menurut kelab itu di Twitter.

Pemain tengah itu yang beraksi dalam 117 perlawanan bersama Itali dari 2004 hingga 2017 bergambar dengan jersi biru dan kuning Boca bersama-sama pengarah sukan Nicolas Burdisso, yang beraksi bersamanya di Roma selama lima tahun dari 2009-14.

“Saya tidak dapat mengakhiri karier tanpa menyertai Boca,” kata Rossi beberapa hari lalu.

Roma mengucapkan ‘semoga berjaya’ kepada bekas ayam tambatan mereka di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 8:56 AM