GARCIA pernah membimbing kelab Arab Saudi, Al Nassr. FOTO AFP
GARCIA pernah membimbing kelab Arab Saudi, Al Nassr. FOTO AFP
AFP

Naples: Rudi Garcia berkata beliau 'bersemangat seperti biasa' selepas dinamakan sebagai jurulatih baharu juara liga Itali, Napoli.

Bekas bos Roma, Garcia, 59, mengambil alih jawatan Luciano Spalletti yang meninggalkan jawatannya selepas membimbing kelab itu merangkul Scudetto pertama mereka dalam tempoh 33 tahun.

Garcia dipecat oleh kelab yang diwakili Cristiano Ronaldo, Al Nassr April lalu selepas menduduki tangga kedua liga Arab Saudi hanya beberapa bulan selepas pemenang lima kali Ballon d'Or itu menyertai perjanjian bernilai berpuluh juta dolar.

"Sungguh seronok untuk mengambil bahagian dalam projek Napoli. Betapa gembiranya kembali ke Itali," kata Garcia di Twitter.

"Saya bermotivasi dan bercita-cita tinggi seperti yang pernah saya lakukan," tambahnya.

Terdahulu, presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis mengesahkan ketibaan Garcia sebelum kelab itu mengumumkan berita itu di media sosial.

"Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa, selepas bertemu dan meluangkan masa bersamanya dalam tempoh 10 hari terakhir, Rudi Garcia akan menjadi jurulatih baharu Napoli," kata De Laurentiis di Twitter.

"Sambutan yang ikhlas untuknya dan semoga berjaya!" dia menambah.

Garcia yang fasih berbahasa Itali memenangi kejuaraan berganda Perancis bersama Lille pada 2011, sebelum membimbing Roma ke kelayakan Liga Juara-Juara pada 2014 dan 2015.

Beliau juga pernah melatih Marseille dan Lyon di negara kelahirannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 10:49 AM