SHAHRUL Zaman ketika mesyuarat Agung Kesatuan Ragbi Malaysia 2019 di Kompleks Sukan Majlis Olimpik Malaysia, Wisma MOM.
SHAHRUL Zaman ketika mesyuarat Agung Kesatuan Ragbi Malaysia 2019 di Kompleks Sukan Majlis Olimpik Malaysia, Wisma MOM.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Shahrul Zaman Yahya terus diberi mandat untuk menerajui Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) selepas dipilih sebagai presiden badan induk itu bagi penggal 2019-2022, semalam.

Shahrul Zaman, presiden penggal 2016-2019, mengekalkan kedudukan itu selepas menang dengan kelebihan lima undi, setelah memperoleh 24 undi menewaskan pencabarnya, Presiden Kesatuan Ragbi Kedah, Tan Sri Abdul Halim Karim.

Pemilihan itu diadakan sempena mesyuarat agung tahunan KRM 2019-2022 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM).

Jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan perubahan apabila Velayuthan Tan tidak dicalonkan semula dan jawatan itu menjadi milik Amir Amri Mohamad, yang juga naib presiden KRM bagi penggal lepas.

Presiden Persatuan Ragbi Negeri Terengganu itu memperoleh 26 undi, menewaskan Presiden Persatuan Ragbi Kelantan, Datuk Tamunif Mokhtar yang mendapat 17 undi.

Dalam pada itu, pengarah pertandingan KRM, Mohamad Fahmy Abd Jalil memenangi kerusi Naib Presiden dengan memperoleh 37 undi, mengetepikan penyandang terdahulu, Raimy Mohd Yusof yang meraih 21 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 7:05 AM