AMIR (empat dari kanan) bersama barisan kepimpinan baharu KRM bagi penggal 2023 sehingga 2027.
AMIR (empat dari kanan) bersama barisan kepimpinan baharu KRM bagi penggal 2023 sehingga 2027.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Memulihkan semula imej Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) terutama membabitkan kes pecah amanah antara matlamat utama Amir Amri Mohamad selepas menang jawatan presiden pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan KRM, hari ini.

Amir yang juga Timbalan Presiden KRM pada penggal lalu, memperoleh 27 undian berbanding pencabar terdekat yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Kuala Lumpur, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique yang meraih 11 undian, sekali gus akan memimpin KRM sehingga 2027.

"Saya mengambil sikap bertanggungjawab kerana kita semua tahu apa yang telah berlaku dalam KRM. Sebab itu saya menawar diri untuk bertanding jawatan presiden.

"Apa yang berlaku sudah berlaku dan kita akan memastikan supaya perkara ini akan menjadi pengajaran kepada semua agar tidak berlaku lagi pada masa akan datang," katanya.

Pada Disember tahun lalu, arena sukan negara digemparkan dengan kes pecah amanah disyaki dilakukan seorang kakitangan KRM yang difahamkan membabitkan dana hampir RM2 juta.

Mengulas mengenai isu itu, Amir berkata, kes berkenaan sudah berada dalam siasatan polis dan individu berkenaan bakal didakwa.

Amir yang juga Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu mengakui beliau menggalas tugas yang sangat berat menggantikan Datuk Shahrul Zaman Yahya yang memimpin KRM selama dua penggal.

"Saya tahu Datuk Shahrul boleh dikatakan bapa pembangunan sukan ragbi yang banyak membawa masuk penajaan.

"Jadi ini antara keutamaan saya untuk membawa masuk dana seperti mana dilakukan presiden terdahulu," katanya.

Sementara itu, Mohd Azmir Zainul Abidin yang juga bekas pemain kebangsaan tidak dicabar untuk menang tanpa bertanding jawatan timbalan presiden.

Syamsul Erwin Muhammad Lagis dan Abdul Rashid Adlie pula mengisi jawatan naib presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 4:27 PM