AFP

KETIBAAN Paul Pogba di Manchester United menjadi inspirasi untuk Romelu Lukaku supaya berpindah ke Old Trafford juga.

Lukaku, 24, mula berlatih bersama skuad United di Los Angeles pada Isnin beberapa jam selepas perpindahan £75 juta (RM415 juta) dari Everton dirasmikan.

Perpindahan itu adalah rekod antara dua kelab Inggeris dan kontrak lima tahun itu manawarkan gaji £200,000 (RM1,106,662) seminggu.

Lukaku berkata, Pogba memainkan "peranan besar" dalam perpindahannya.

Dalam temuramah pertamanya sejak menjadi pemain United, Lukaku memberitahu saluran televisyen MUTV bahawa keputusannya untuk mencari langkah ke Old Trafford dibuat selepas menyaksikan Pogba menyertai kelab itu, tahun lalu.

“Dia kawan baik saya dan jiran juga.

“Musim lalu ketika dia menandatangani kontrak dengan United, apabila menyaksikannya, ia benar-benar mencetuskan ilham dan saya tahu jika saya mempunyai peluang untuk ke United, saya tidak akan menolaknya.

"Pada akhir karier, saya ingin berkata bahawa saya dapat bermain untuk pasukan yang selalu memberi cabaran dalam usaha memenangi trofi.

“Inilah yang sentiasa dilakukan United.

"Saya bersyukur berada di sini dan tidak akan membazirkan peluang yang diberikan,” katanya.

Perpindahan Lukaku menyatukannya semula dengan Jose Mourinho yang menjual penyerang itu kepada Everton pada 2014 ketika di Chelsea.

Lukaku berada di Los Angeles untuk lima perlawanan pra-musim United.

Penyerang Belgium itu mungkin membuat penampilan pertama untuk United dalam peralawanan pembukaan pra-musim itu menentang Los Angeles Galaxy, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 8:28 AM
LUKAKU (kanan) bersama Pogba ketika latihan di Los Angeles. FOTO ReutersLUCY NICHOLSON
LUKAKU (kanan) bersama Pogba ketika latihan di Los Angeles. FOTO ReutersLUCY NICHOLSON