AFP

FERLAND Mendy menyatakan ia satu penghormatan untuk bermain dengan “legenda” seperti Zinedine Zidane selepas pertahanan kiri baharu Real Madrid itu diperkenalkan di Santiago Bernabeu, hari ini.

Madrid membayar 50 juta euro (RM234 juta) untuk mengikat pertahanan Perancis itu dari Lyon ketika Zidane membentuk semula skuadnya selepas kekecewaan musim lalu.

Mendy menyertai Eden Hazard, Luka Jovic, Eder Militao dan Rodrygo berpindah ke Madrid sebagai sebahagian daripada perbelanjaan 300 juta euro (RM1.4 bilion) pada musim panas ini menjelang musim baharu.

MENDY bergambar ketika diperkenalkan kepada penyokong Madrid di Santiago Bernabeu. — FOTO Reuters
MENDY bergambar ketika diperkenalkan kepada penyokong Madrid di Santiago Bernabeu. — FOTO Reuters

“Ia satu penghormatan untuk berada di samping seorang legenda bola sepak seperti Zidane,” kata Mendy pada sidang akhbar.

“Saya mengikuti perkembangannya ketika kecil, saya mengetahui secara mendalam apa yang dilakukannya sepanjang karier dan ia amat menyeronokkan berpeluang untuk bekerja dengannya.”

Terdahulu Mendy menandatangani kontraknya di bilik lembaga pengarah dan bergambar di depan 13 Piala Eropah yang dimenangi Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 1:02 AM