Skuad Cheng Hoe (tengah) akan berdepan Timor Leste. FOTO fail NSTP
Skuad Cheng Hoe (tengah) akan berdepan Timor Leste. FOTO fail NSTP
Firdaus Hashim


KETUMPULAN serangan harus jadi keutamaan buat setiap pemain Harimau Malaya sekiranya mahu menang ke atas Timor Leste dalam aksi playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat dan Selasa ini.

Pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe berkata, beberapa aspek perlu diberi penekanan serius menjelang aksi penting itu dengan matlamatnya kini adalah untuk menajamkan bahagian serangan skuad negara.

Katanya, ketumpulan jentera hadapan ketika menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi persahabatan Ahad lalu, mendedahkan bahawa barisan kejurulatihan mempunyai banyak 'kerja rumah' untuk mengatasi kekurangan itu.

"Ini perlawanan (menentang Nepal) persiapan terbaik kita sebelum mengharungi kelayakan Piala Dunia dan banyak kelemahan yang harus diperbaiki segera.

"Kita akan tingkatkan dan cuba mengatasi masalah di bahagian serangan kerana kita dapat lihat banyak peluang dihasilkan cuma tiada sentuhan penyudah saja," kata jurulatih yang berasal dari Kedah itu.

Kemenangan ke atas Nepal itu bukan sahaja menjadi suntikan semangat buat skuad negara tetapi juga medan untuk beliau menilai keupayaan pemain sebelum menggugurkan dua lagi tonggak daripada 25 senarai ketika ini.

Mengulas mengenai dua gol dihasilkan menerusi situasi bola mati berbanding kesukaran anam buahnya memecah kebuntuan melalui gerakan padang, Cheng Hoe mengakui tidak bimbang sebaliknya melihat ia sebagai senjata berguna buat pasukan.

"Apa yang penting, kami juga dapat menghasilkan peluang juga dan seperti yang selalu saya tekankan, bola sepak bukan sekadar permainan terbuka tetapi gerakan 'set-piece' juga penting.

"Dengan situasi 50-50 dalam perlawanan, kami memanfaatkan gerakan 'set-piece' dan ia menunjukkan perkembangan positif terhadap pasukan ini," katanya, membawa pasukan muncul naib juara Piala AFF penghujung tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 4:36 PM