NADAL membalas pukulan Londero pada pusingan keempat Terbuka Perancis, semalam. — FOTO AFP
NADAL membalas pukulan Londero pada pusingan keempat Terbuka Perancis, semalam. — FOTO AFP
AFP

JUARA bertahan, Rafael Nadal mencatat kemenangan ke-90 di Roland Garros dan menganggap ia sesuatu yang mustahil untuk terus memecahkan rekod apabila memasuki usia 30-an ketika dia mula beraksi 14 tahun lalu.

Pilihan kedua dari Sepanyol yang juga juara 11 kali Terbuka Perancis itu mara ke suku akhir buat kali ke-13 sesudah menewaskan pemain Argentina, Juan Ignacio Londero 6-2, 6-3, 6-3.

“Ketika saya masih berusia 18 tahun, saya tidak terfikir dan mustahil untuk saya masih berada di sini pada usia 33 tahun.

“Ada segelintir yang menjangkakan karier saya akan berakhir lebih awal. Namun, di sebalik banyak masalah, saya terus mengekalkan kemahuan dan keseronokan bermain tenis.

TSITSIPAS terjatuh ketika cuba membalas pukulan Wawrinka. — FOTO Reuters
TSITSIPAS terjatuh ketika cuba membalas pukulan Wawrinka. — FOTO Reuters

“Walaupun saya pernah mengalami detik sukar, saya mencari motivasi untuk meneruskan langkah. Ramai melihat karier saya tidak akan panjang kerana corak permainan saya tapi nampaknya mereka silap,” katanya.

Sementara itu, Stanislas Wawrinka menyingkirkan pemain Greece, Stefanos Tsitsipas menerusi kemenangan dalam aksi paling lama dicatat pada kejohanan itu setakat ini.

Keputusan itu menyaksikan juara 2015 itu menentang rakan senegara dari Switzerland, Roger Federer pada suku akhir.

Pukulan kemenangan dari garisan belakang memastikan dia meraih kemenangan 7-6 (8/6), 5-7, 6-4, 3-6, 8-6 dalam masa lima jam sembilan minit pada aksi pusingan keempat di gelanggang Suzanne Lenglen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 1:07 PM