Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. FOTO NSTP.
Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. FOTO NSTP.
Izzali Ismail


PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak, 41, terkejut apabila namanya dikaitkan dengan kelab bola sepak terkenal Liga Indonesia, Persija Jakarta.

Menurut bekas jurulatih kelab Singapura, Home United itu, beliau tidak menyangka apabila dimaklumkan oleh ejennya berkaitan hasrat pihak Persija Jakarta untuk mendapatkan khidmatnya.

Malah perkara ini juga sudahpun menjadi bualan sesetengah pihak di laman sosial yang membabitkan Aidil dan kelab yang berpangkalan di Stadium Gelora Bung Karno itu.

"Saya mendapat maklumat daripada ejen saya berkaitan pihak Persija Jakarta yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya untuk melatih pasukan mereka.

"Malah saya juga mendapati beberapa paparan dalam media sosial yang mahu pengurusan Persija Jakarta mendapatkan khidmat saya selepas rekod kejayaan Home United menewaskan Persija di laman sendiri dan tempat lawan musim lalu."

“Namun saya menganggap perkara itu sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana kelab yang merancang untuk mendapatkan jurulatih terbaik untuk pasukan." katanya.

Aidil bagaimanapun tetap menyatakan kesetiaannya dan penghargaan terhadap skuad Lang Merah yang dibimbingnya pada musim ini tanpa perasaan berbelah bahagi.

"Walaupun saya ditawarkan jawatan berkenaan namun saya tetap menghormati dan menghargai kontrak saya dengan pengurusan Kedah yang bermula pada musim ini.

"Ini prinsip kerja saya selama ini dan saya tidak menganggap duit itu adalah segala-galanya jadi saya mahu terus fokus dengan kerjaya saya di Kedah." katanya. Aidil digelar 'Pep Guardiola Singapura' merupakan jurulatih muda yang berjaya membawa pasukan Home United menjadi juara AFC bagi peringkat Zon Asean dan beliau juga berjaya membimbing Home United menyingkirkan Persija Jakarta di gelanggang keramat mereka.

Selain itu beliau juga mencatat rekod kejayaan untuk Home United bergelar naib juara Liga Singapura tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 6:14 PM