BERNARDO mula serasi dengan bola sepak Liga Perdana Inggeris. — FOTO Reuters
BERNARDO mula serasi dengan bola sepak Liga Perdana Inggeris. — FOTO Reuters
AFP

PEP Guardiola berusaha mengubah kesebelasan utama Manchester City ketika menanti kunjungan pasukan bergelut Cardiff ke Etihad, awal pagi Khamis ini dengan tumpuan juga terarah kepada separuh akhir Piala FA berdepan Brighton.

Namun pemain perancang Portugal, Bernardo Silva muncul seorang daripada pemain yang pasti dipilih secara automatik, walaupun Guardiola memiliki banyak pilihan dalam skuad utamanya.

Dibeli dari AS Monaco dengan harga £43 juta (RM229 juta) dua tahun lalu, pemain berusia 24 tahun itu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan Liga Perdana Inggeris bersama satu daripada skuad termahal dalam sejarah pernah dikumpulkan.

Pada musim sulungnya, Bernardo hanya bermula dalam 15 aksi liga, tampil sebagai pemain simpanan tidak kurang 20 kali dalam 38 perlawanan ketika Guardiola memberikan dia masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan berbeza.

GOL pertama City sumbangan Bernardo menentang Fulham. — FOTO Reuters
GOL pertama City sumbangan Bernardo menentang Fulham. — FOTO Reuters

Namun pendekatan itu sudah terbukti berjaya dan ia bukan kali pertama dalam karier Guardiola beliau mampu melakukannya.

Ketika Kevin De Bruyne dibelenggu kecederaan, Silva mengambil cabaran itu dengan konsisten dan sumbangan terbaru jaringan ketika kemenangan selesa 2-0 ke atas Fulham yang mengembalikan City ke persada Liga Perdana untuk 24 jam di depan Liverpool.

“Apa yang dilakukan Bernardo musim ini kesan daripada cara dia menerima peranan dilakukannya,” kata Guardiola selepas satu lagi persembahan hebat di Craven Cottage.

“Dia bekerja keras dan pulangannya sudah terbukti. Ketika ini dengan cara dia bermain, saya tidak boleh lakukan apa-apa selain meletakkan dia di padang dan biarkan dia bermain.

“Dia amat penting buat kami. Apa yang dilakukan buat kami memang terbaik.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 11:30 AM