AKSI  Petra Kvitova membalas hantaran Sofia di   Caja Magica, Madrid. - FOTO Agensi
AKSI Petra Kvitova membalas hantaran Sofia di Caja Magica, Madrid. - FOTO Agensi
AFP

PEMAIN nombor dua dunia, Petra Kvitova bermula cemerlang dalam misi mempertahankan gelaran Terbuka Madrid selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Sofia Kenin 6-1, 6-4, awal pagi tadi.

Petra hanya memerlukan 33 minit memenangi set pertama dalam perlawanan berlangsung di Caja Magica. Walaupun Sofia mempamerkan tentangan sengit pada set kedua tetapi tetap gagal menghalang Kvitova menang straight set.

Barbora Strycova atau Kristina Mladenovic menunggu Petra di pusingan kedua yang mahu meraih trofi kedua selepas muncul juara di Stuttgart minggu lalu sekali gus persiapan terbaik menjelang Terbuka Perancis bulan ini.

Petra yang muncul salah seorang pemain pilihan di Roland Garros bangkit daripada kecederaan dialami selepas diserang di rumahnya hampir dua tahun lalu.

Sofia yang berusia 20 tahun melonjak ranking ke-37 selepas tersenarai dalam kelompok 100 terbaik tahun lalu tetapi dia jelas sukar menandingi kehebatan Petra yang memburu gelaran keempat di Madrid.

Sementara itu, Victoria Azarenka meneruskan momentum kebangkitan sejak tewas di pusingan pertama Terbuka Australia pada Januari lalu dengan mengatasi cabaran pemain berbakat Russia, Daria Kasatkina 7-5, 6-4.

"Ini aksi pertama, selalunya tidak mudah terutamanya dengan keadaan dan altitud di sini,” kata Victoria selepas tamat perlawanan.

Dia akan menentang pilihan kelapan Sloane Stephens atau pemain kelayaan di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 11:35 AM