PUAKA Jerai (berdiri tengah, baju hijau kuning) bersama 50 penyokong setia sanggup hadir awal dan bermalam di Stadium Darul Aman demi mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman hari ini.
PUAKA Jerai (berdiri tengah, baju hijau kuning) bersama 50 penyokong setia sanggup hadir awal dan bermalam di Stadium Darul Aman demi mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman hari ini.
Izzali Ismail

IKON bola sepak Kedah, Puaka Jerai bersama 50 penyokong setia sanggup hadir awal dan bermalam di Stadium Darul Aman demi mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman hari ini.

Walaupun kaunter tiket hanya akan mula dibuka pada jam 10 pagi, melalui kaunter A,B E dan F mereka sanggup hadir dan beratur seawal jam 8 malam melalui kaunter B bagi mengelak terlepas peluang mendapatkan tiket menyaksikan perlawanan separuh akhir itu nanti.

Ketika ditemuramah sekitar jam 12 tengah malam tadi, Zulkifli Hashim, 38, atau lebih dikenali sebagai Puaka Jerai yang berasal dari Yan ini mengakui semangat dan setianya kepada pasukan Kedah mendorongnya untuk meluangkan masa lebih 12 jam menunggu di depan kaunter tiket.

“Biarlah apa tanggapan orang melihat saya menunggu sejak malam ini hingga esok pagi..yang penting saya mahu bersama-sama rakan di sini yang sudah saya anggap seperti keluarga.

“Sudah menjadi kebiasaan bagi kami menunggu di kaunter tiket semalaman setiap kali ada perlawanan penting membabitkan Kedah di Stadium Darul Aman.

“Kami mahu buktikan bukan saja dengan sorakan di dalam stadium, tetapi kami sanggup berkorban masa demi semangat cintakan pasukan Kedah. “

Sementara itu seorang lagi penyokong yang bersama sama Puaka Jerai, Shahrul Haizam Abdul Razak, 35, dari Sungai Petani berkata dia sanggup mengambil cuti dan hadir lebih awal di Stadium Darul Aman demi mendapatkan tiket untuk perlawanan menarik antara Kedah dan Felda ini.

“Ini perlawanan yang sangat menarik dan saya tidak mahu melepaskan peluang melihat secara langsung bersama rakan-rakan di stadium berbanding menerusi kaca tv.

“Berkumpul dan beratur beramai ramai di stadium ini sudah menjadi kebiasaan bagi kami setiap kali perlawanan besar seperti separuh akhir ini.

“Suasana dan keadaan di sekitar Stadium Darul Aman ini juga meriah di waktu malam dan di samping dapat mengenali rakan-rakan baharu, kami juga dapat mengeratkan silaturahim sesama penyokong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 1:52 PM