GELAGAT Hamilton di atas podium selepas muncul juara GP China. - FOTO Reuters
GELAGAT Hamilton di atas podium selepas muncul juara GP China. - FOTO Reuters
Reuters

LEWIS Hamilton memenangi Grand Prix China di Shanghai hari ini sekali gus merampas kedudukan pendahulu keseluruhan daripada rakan sepasukan di Mercedes, Valtteri Bottas dalam saingan Formula 1 (F1) edisi ke-1,000.

Bottas yang bermula buruk walaupun berada di petak depan dipintas juara dunia lima kali, Hamilton ketika di selekoh pertama, masih mampu menduduki tempat kedua - kali ketiga pasukan itu meraih dua tempat pertama musim ini.

Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel menduduki tempat ketiga untuk podium pertama musim ini.

Bagi Hamilton, kemenangan itu adalah yang ke-75 dalam kariernya dan kedua berturut-turut selepas di Bahrain dua minggu lalu, dan keenam di China.

“Bagi kami, menang kedudukan satu dua sangat istimewa apatah lagi dalam edisi ke-1,000. Saya memulakan perlumbaan dengan baik, dan itulah kuncinya,” kata pelumba Britain itu yang turut memenangi perlumbaan edisi ke-900 di Bahrain pada 2014.

Dia kini hanya ketinggalan 16 kejuaraan berbanding rekod Michael Schumacher, 91 kemenangan.

Setakat ini belum ada pemenang daripada pelumba yang bermula di petak depan musim ini dengan Bottas turut memperaga aksi sama ketika muncul juara di Australia.

“Saya kalah akibat permulaan perlahan, walaupun keadaan kereta ok,” kata pelumba Finland itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 8:41 PM