NUNO Espirito Santo (kiri) dan Gracia selepas tamat perlawanan di Molineux pada 20 Oktober lalu.  - FOTO Agensi
NUNO Espirito Santo (kiri) dan Gracia selepas tamat perlawanan di Molineux pada 20 Oktober lalu. - FOTO Agensi
AFP

AKSI separuh akhir Piala FA membabitkan Wolves dan Watford di Wembley malam esok boleh dianggap pertembungan dua pasukan terbaik dalam kelompok pertengahan Liga Perdana.

Wolves di bawah kendalian Nuno Espirito Santo menduduki tangga ketujuh selepas kemenangan kedua berturut-turut ke atas Manchester United minggu ini dengan Watford satu mata di belakang di tempat ke lapan.

Pemenang akan menentang Manchester City atau Brighton yang beraksi awal pagi esok pada final bulan depan.

Wolves yang dibiayai kumpulan Chinese Fosun International naik ke Liga Perdana tahun lepas selepas enam musim tersisih daripada liga utama. Tetapi mereka mencetuskan impak dengan meraih 13 mata ketika menentang enam kelab besar.

Pemain sayap Matt Doherty berkata, peningkatan kelab itu menakjubkan.

"Ia sukar dipercayai,” kata pemain Ireland itu yang menyertai kelab ketika mereka tersisih ke liga bawahan pada 2013.

"Anda perlu ingat ia berlaku dalam masa singkat selepas baharu sahaja kami beraksi di Liga Satu.

"Siapa sangka kami mara ke separuh akhir Piala FA dan menghuni tangga ketujuh liga, bagaikan kisah dongeng. Kami semua gembira dengan situasi sekarang.”

Wolves makin hampir mengulangi sejarah kelab pada era 1950-an yang muncul juara Piala FA empat kali malah kejuaraan terakhir mereka pada 1960.

"Setiap orang tahu betapa bermaknanya perlawanan ini tetapi kami perlu beraksi seperti perlawanan lain kemudian menjadikannya ia istimewa,” kata Nuno.

Watford yang tewas pada final 1984 turut mempunyai sejarah silam menarik dan kini berjuang mendapat tempat lebih baik dalam liga.

Selasa lalu mereka menewaskan Fulham untuk meraih mata ke 46 sekali gus menduduki tempat terbaik dalam liga tertinggi sejak musim 1986-87 (63).

Javi Gracia adalah pengurus ke-10 sejak keluarga Pozzo mengambil alih Watford pada 2010 dan jurulatih dari Sepanyol itu yang pertama selepas Gianfranco Zola kekal bertahan lebih semusim dalam tempoh enam tahun lalu apabila menandatangani kontrak lanjutan sehingga 2023 di Vicarage Road pada November 2018.

"Kedua-dua pasukan beraksi dengan baik, meraih mata dan kami menikmati musim yang hebat,” kata Gracia yang skuadnya menewaskan Wolves 2-0 dalam aksi liga pada awal musim ini.

"Saya fikir ini saat terbaik buat kedua-dua pasukan. Kami memiliki skuad bagus dan saya jangka perlawanan menarik malam esok (malam ini). Kami sedia memberikan 100 peratus.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 11:30 AM