LECLERC (kanan) ceria di podium selepas menduduki tempat ketiga di belakang Hamilton dan Bottas. — FOTO AFP
LECLERC (kanan) ceria di podium selepas menduduki tempat ketiga di belakang Hamilton dan Bottas. — FOTO AFP
AFP

LEWIS Hamilton mengetuai pujian terhadap Charles Leclerc awal pagi tadi dan memberi amaran pasukannya Mercedes berdepan tugas getir untuk kekal di depan Ferrari sekalipun mencatat penamat 1-2 pada Grand Prix Bahrain.

Hamilton berjaya selepas pemandu baru Ferrari dari Monaco itu dinafikan kemenangan sulung berikutan kegagalan enjin selepas mendahului dengan berbaki 10 pusingan.

Juara dunia lima kali itu berkata, Ferrari berjaya mengatasi kepantasan Mercedes dan Leclerc melakukan tugas hebat secara individu.

“Ia pastinya satu tugas sukar hari ini,” kata Hamilton. “Hujung minggu ini, Ferrari amat menakjubkan dan Charles melakukan tugas hebat.

HAMILTON mengakui Mercedes bernasib baik di Litar Sakhir. — FOTO EPA
HAMILTON mengakui Mercedes bernasib baik di Litar Sakhir. — FOTO EPA

“Saya pasti ia keputusan yang terlalu melukakannya kerana dia sudah melakukan tugas yang baik untuk memenangi perlumbaan.

“Kami juga jelas bernasib baik, tapi anda perlu menanganinya. Saya masih memberikan segala-galanya dalam perlumbaan dan saya berusaha sedaya mungkin dan sudah tentu, persaingan saya dengan (Sebastian) Vettel amat menyeronokkan.”

Rakan sepasukan dan pendahulu kejuaraan dengan satu mata, Valtteri Bottas berkata: “Sebagai satu pasukan, kami agak bernasib baik hari ini, tapi kami tetap bekerja sebagai satu pasukan.”

Prinsipal pasukan yang berasa lega, Toto Wolff mengakui Ferrari mempunyai jentera terpantas – seperti yang mereka buktikan ketika ujian pramusim – namun menyatakan faktor lain turut menjadi penentu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 1:47 PM