M Karathu. -Foto boladaily.com
M Karathu. -Foto boladaily.com
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Ketika banyak pihak menuding jari menyalahkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atas kegagalan Malaysia mara ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23, bekas pemain kebangsaan, Datuk M Karathu memilih untuk ‘menentang arus’.

AFC dikritik kerana mengubah format kelayakan di saat akhir selepas Pakistan menarik diri dan hanya mengambil kira keputusan dua daripada tiga perlawanan dalam setiap kumpulan.

Akibatnya, Malaysia gagal layak kerana aksi menentang Filipina tidak dikira walaupun anak buah Datuk Ong Kim Swee itu muncul naib juara Kumpulan J.

Bagi Karathu yang juga bekas jurulatih Perak, Kelantan dan Negeri Sembilan itu, sikap menyalahkan AFC perlu dikikis segera sebaliknya pemain serta Kim Swee harus menyalahkan diri sendiri kerana kegagalan berkenaan.

Beliau berpendapat, skuad B-23 tahun negara tersilap langkah kerana lebih selesa menyasarkan kemenangan berbanding meraih gol sebanyak mungkin.

“Salah diri sendiri bukan format AFC. Kenapa kita tak boleh dapat gol banyak ketika lawan dengan pasukan dari Asia Tenggara macam Laos?

“Bagaimana China boleh menang besar ke atas Laos tetapi kita tidak? Itu menunjukkan sebenarnya kita tak cukup kuat untuk bermain di pusingan akhir.

“Kita kena ingat, kita perlu ambil peluang dalam setiap perlawanan untuk menjaringkan gol lebih. Kita tak boleh salahkan negara Asia Barat yang bermain lewat kerana memang waktu negara kita dan mereka jauh ketinggalan tiga ke lima jam di belakang.

“Takkan pula kita main jam lapan malam, mereka bermain waktu tengahari di sana. Jadi fikir logik, patutnya menang besar masa lawan Laos dan kita boleh fikir untuk seri dengan China,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sejak anak buah Kim Swee gagal ke pusingan akhir di Bangkok, banyak pihak menjadikan AFC sebagai mangsa melepaskan kemarahan dan bagi mereka, Malaysia sepatutnya layak mengiringi China yang muncul juara kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 7:30 AM