LEE Tuck  mungkin disenaraikan dalam perlawanan antarabangsa lain.
LEE Tuck mungkin disenaraikan dalam perlawanan antarabangsa lain.
Firdaus Hashim


TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi berkata, ketiadaan tonggak kacukan berdarah Malaysia-England, Lee Tuck dalam senarai 25 pemain skuad Harimau Malaya kerana pemain tengah itu belum memohon mendapatkan pasport negara ini.

Justeru, hajat untuk melihat aksi pemain tengah Terengganu FC itu di Piala Airmarine 2019 terpaksa ditangguhkan sehingga proses dokumentasi diselesaikan.

“Memang ada perancangan untuk mengambil dia (Lee Tuck) beraksi tapi dia belum berjaya mendapatkan pasport Malaysia. Kalau tidak sekarang (Piala Airmarine 2019) mungkin kita akan senaraikan dalam perlawanan antarabangsa yang lain.

“Jangan risau, masih banyak lagi masa dan yang penting dia dan Terengganu FC kena memohon pasport negara ini,” katanya kepada Arena Metro.

Lee Tuck, 31, sebelum ini 'panas punggung' melihat kelibat tonggak naturalisasi pertama Malaysia, Mohamadou Sumareh beraksi di Piala AFF pada Disember lalu dan berhasrat untuk menyarung jersi negara.

YUSOFF menyatakan Lee Tuck belum memohon mendapatkan pasport negara ini. FOTO/NSTP
YUSOFF menyatakan Lee Tuck belum memohon mendapatkan pasport negara ini. FOTO/NSTP

Bagaimanapun, status Lee Tuck berbeza dengan Sumareh kerana pemain skuad Penyu itu ada pertalian darah dengan Malaysia kerana neneknya berasal dari negara ini dan prosesnya lebih mudah.

Pemain yang mula menyarung jersi Negeri Sembilan pada 2016-2017 sebelum menyertai skuad TFC musim lalu, bukan hanya bijak mengemudi jentera tengah tetapi berupaya meledak gol.

Jika berjaya, Lee Tuck akan menyusuli langkah beberapa pemain lain yang memiliki pertalian darah dengan negara ini seperti pemain Perak, Brendan Gan, Matthew Davies (Pahang), Kiko Insa dan Natxo Insa (Johor Darul Ta’zim).

Namun, sehingga kini keputusan sama ada pemain kelahiran Huddersfield, England itu bakal mengikut jejak pemain Brendan dan Davies masih menjadi tanda tanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 8:52 AM