MARQUEZ mencatat masa terpantas pada sesi latihan sebelum perlumbaan pembuka musim di Qatar. FOTO AFP
MARQUEZ mencatat masa terpantas pada sesi latihan sebelum perlumbaan pembuka musim di Qatar. FOTO AFP
Reuters

JUARA dunia MotoGP lima kali dari Honda Marc Marquez mencatat masa terpantas pada sesi latihan sebelum perlumbaan pembuka musim di Qatar awal pagi tadi meskipun masih dalam proses pemulihan pembedahan bahu.

Pelumba Sepanyol itu yang kini bersama rakan sepasukan baharu iaitu rakan senegara dan juga juara tiga kali Jorge Lorenzo mencatat masa sepusingan terpantas di litar Losail iaitu satu minit 53.380 saat pada sesi kedua.

Pelumba Sepanyol Maverick Vinales mencatat masa kedua terpantas bersama pasukan Yamaha, namun ketinggalan setengah saat.

“Ia hari yang positif,” kata Marquez, yang menjalani pembedahan pada Disember.

“Catatan sepusingan memang pantas tetapi yang penting adalah rentak perlumbaan. Kami perlu berusaha memperbaikinya tetapi sedang mencari jalan dan gembira bagaimana hari ini berakhir.

“Kebiasannya kami agak bergelut di litar ini tetapi hari ini sedikit sebanyak kami sudah mulai stabil.”

Lorenzo yang berpindah dari Ducati untuk menggantikan tempat Dani Pedrosa juga tidak 100 peratus cergas selepas pembedahan, adalah kedua terpantas pada sesi pembukaan namun jatuh ke tangga ke-11 sebaik tamat sesi berkenaan.

“Kami mempunyai banyak potensi dan bekerja keras dan saya percaya kami akan berada di tahap terbaik. Saya dapat rasakan kami boleh menjadi kompetitif dengan pelarasan yang betul.

Bintang Itali, Valentino Rossi yang kini berusia 40 tahun, mencatat masa terpantas pada sesi pertama buat Yamaha, namun gagal mempamerkan aksi meyakinkan pada sesi petang apabila menduduki tangga ke-16 .

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 12:45 PM