RONALDO bakal bertandang ke Chievo pada 18 atau 19 Ogos pada aksi pertama Serie A. FOTO/AFP
RONALDO bakal bertandang ke Chievo pada 18 atau 19 Ogos pada aksi pertama Serie A. FOTO/AFP
Reuters

ROME: Cristiano Ronaldo akan tampil buat kali pertama di Serie A apabila pasukannya bertandang ke Chievo pada 18 atau 19 Ogos ketika kelab barunya, Juventus memulakan kempen memburu gelaran liga buat kali kelapan berturut-turut.

Jadual perlawanan Liga Itali bagi musim 2018-19 diumumkan awal pagi tadi dengan tumpuan terarah kepada bintang penyerang itu yang dibeli dari Real Madrid awal bulan ini dan penggempur Portugal itu menganggap apa yang dilaluinya musim ini sebagai cabaran baru.

Juventus muncul pasukan pilihan untuk terus mendominasi kempen domestik terutama selepas kehadiran Ronaldo tetapi pada masa sama, pesaing mereka turut mengukuhkan pasukan masing-masing.

Napoli yang menamatkan musim dengan ketinggalan empat mata di belakang Juve, mengambil langkah drastik dengan membawa masuk Carlo Ancelotti bagi menggantikan Maurizio Sarri yang berpindah ke Chelsea.

Ancelotti akan memulakan tugasnya dengan kunjungan ke Lazio yang muncul pasukan paling banyak menjaringkan gol musim lalu (89 gol) dan terlepas peluang ke Liga Juara-Juara apabila dikalahkan Inter Milan pada hari terakhir musim lalu.

Ancelotti yang juga pernah menjulang tiga Liga Juara-Juara, terpaksa sekali lagi mengerah pengalamannya untuk melayan kunjungan AC Milan yang kini dimiliki konglomerat Amerika Syarikat, Elliott Management sejak awal bulan ini.

Juventus pula menanti kehadiran Lazio pada minggu kedua (26 Ogos) dan ia adalah ujian sebenar pertama buat juara bertahan itu selain aksi pertama Ronaldo di laman sendiri.

Roma yang akan memulakan musim di Torino, sudah membawa masuk 11 pemain baru selepas menamatkan musim lalu di tempat ketiga dan layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu tetapi apa yang dikesalkan penyokong ialah tindakan kelab yang menjual Radja Nainggolan kepada Inter dan penjaga gol, Alisson kepada Liverpool.

Didorong semangat tinggi selepas layak ke kejohanan elit Eropah selain berjaya membawa masuk Nainggolan, Inter bagaimanapun dijangka tetap tidak mampu menghalang Juve untuk terus mendominasi saingan Serie A.

Bagaimanapun, skuad Massimiliano Allegri itu perlu berdepan Inter yang dibimbing Luciano Spalletti dan Roma secara berturut-turut pada hujung musim nanti. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 8:10 AM