Syed Saddiq beraksi dalam perlawanan persahabatan sempena Majlis Perasmian Padang Bola Sepak Sintetik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok. FOTO Syamsi Suhaimi
Syed Saddiq beraksi dalam perlawanan persahabatan sempena Majlis Perasmian Padang Bola Sepak Sintetik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEMENTERIAN Belia dan Sukan memperuntukkan antara RM20 hingga RM25 juta bagi pembangunan sukan di beberapa kawasan di Kelantan termasuk menaik taraf Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, hasil pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pagi tadi memohon supaya kementerian membaik pulih kerusi di stadium yang rosak.

Katanya, pihaknya akan menaik taraf stadium berkenaan dan membina beberapa padang bola sintetik untuk melayakkan negeri ini menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada masa akan datang.

“Pembangunan sukan di Kelantan akan dijalankan secara adil dan tidak mengasingkan negeri ini walaupun (pentadbiran) kerajaan negeri berlainan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam bab sukan ini, ia boleh menyatupadukan rakyat tanpa mengira perbezaan politik, agama, bangsa.

“Kita juga mahu memberi kemudahan kepada masyarakat terutama golongan belia dan muda untuk bersukan bagi mengelakkan mereka terjebak dengan rempit dan gejala tidak sihat seperti hisap gam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan padang bola sintetik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok, Kota Bharu, hari ini.

Syed Saddiq berkata, pembangunan sukan terutama membina padang bola sintetik yang menelan belanja RM2.5 juta akan diteruskan untuk memberi banyak pilihan kepada anak muda untuk bersukan.

Syed Saddiq beraksi untuk pasukan Kementerian Belia Sukan (KBS) menentang pasukan Kelab Belia Kampung Kadok (KBKK) dalam perlawanan bola sepak persahabatan.
Syed Saddiq beraksi untuk pasukan Kementerian Belia Sukan (KBS) menentang pasukan Kelab Belia Kampung Kadok (KBKK) dalam perlawanan bola sepak persahabatan.

Pada perkembangan lain, Syed Saddiq berkata, Akademi Badminton Negara (ABM) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, akan dimanfaatkan sepenuhnya tidak lama lagi.

Katanya, ABM sudah digunakan sebagai pusat latihan dan kementerian kini sedang menaik taraf asrama dan hostel.

“Pada masa yang sama sudah ada perjumpaan antara Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Perbadanan Stadium untuk mencari titik pertemuan supaya akademi itu boleh diguna pakai sepenuhnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan ABM di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, yang dikatakan bakal menjadi projek Gajah Putih kerana tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 3:17 PM