Cristiano Ronaldo meledak satu gol ke-18 liga. FOTO AFP
Cristiano Ronaldo meledak satu gol ke-18 liga. FOTO AFP
AFP

MILAN: Cristiano Ronaldo menanduk masuk gol ke-18 liganya musim ini bagi membantu Juventus melebarkan jarak di puncak Serie A kepada 11 mata hasil kemenangan 3-0 ke atas Sassuolo, pagi tadi.

Ronaldo membuktikan ketajaman sentuhannya apabila menjaringkan gol pada minit ke-70 tatkala jaringan pembukaan dihasilkan Sami Khedira dengan Emre Can melengkapkan kemenangan berkenaan ketika permainan berbaki empat minit.

Juara Serie A dipaksa seri dengan Parma 3-3 minggu lalu walaupun penyerang Portugal itu meledak dua gol.

Kelab itu meninggalkan pencabar di tangga kedua Napoli yang dibimbing Carlo Ancelotti’s selepas pasukan itu seri tanpa jaringan bertemu Fiorentina semalam.

Paulo Dybala sekali lagi dibawa masuk daripada bangku simpanan dan dia membantu menghasilkan jaringan ketiga dengan pengendali Massimiliano Allegri memberi alasan ia demi keseimbangan dalam permainan.

"Ronaldo dan Dybala boleh beraksi bersama dan mereka semestinya boleh melakukannya, tetapi kami perlukan semua pemain terus bekerja keras untuk memastikan pasukan berada dalam keadaan seimbang," kata Allegri.

“Semuanya bergantung kepada siapa lawan anda. Sassuolo mempunyai jentera tengah yang kuat, jadi saya perlu seimbangkan pasukan untuknya hari ini.

"Pastinya pemain kecewa, namun penting untuk pemain di bangku simpanan mengecas semula bateri dan terus kekuatan mental dalam keadaan terbaik."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 9:30 AM