EDINSON Cavani. FOTO Agensi.
EDINSON Cavani. FOTO Agensi.
Reuters

PARIS: Edinson Cavani sah diketepikan daripada skuad Paris St Germain dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Manchester United di Old Trafford awal pagi Rabu, lapor akhbar harian sukan Perancis L'Equipe hari ini.

Sumber dalaman kelab itu berkata ketiadaan Cavani sudah disahkan, menurut laporan berkenaan tanpa maklumat lanjut.

Penyerang Uruguay Cavani mengalami kecederaan paha ketika pasukannya menang ke atas Girondins de Bordeaux dalam aksi Ligue 1, 1-0 sekali gus mencetus kebimbangan terhadap kecederaan pemain itu menjelang aksi 16 terakhir menentang United.

PSG sudah pun kehilangan Neymar yang diketepikan akibat kecederaan kaki, menyebabkan kelab Perancis itu terpaksa bergantung sepenuhnya kepada Kylian Mbappe sebagai penyerang bertaraf dunia.

“Kelab akan mengeluarkan kenyataan kemudian. Pada pandangan saya, berita ini tidak bagus,” kata jurulatih PSG Thomas Tuchel sebelum itu.

“Masih ada harapan. Kami sentiasa berharap tetapi keputusan ujian pertama tidak bagus.”

Cavani mengalami kecederaan itu pada akhir babak pertama dan terhincut-hincut keluar padang sambil memegang paha kanannya sejurus menjaringkan gol tunggal menerusi penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 9:36 PM