Jake Dixon masih menjalani rawatan pemulihan. FOTO Agensi
Jake Dixon masih menjalani rawatan pemulihan. FOTO Agensi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) akan menyertai dua sesi latihan musim sejuk pada Februari dan Mac depan sebelum menghadapi pusingan pembuka tirai musim MotoGP Dunia 2021 di Litar Antarabangsa Losail, Doha, Qatar, dari 26-28 Mac depan.

Prinsipal pasukan berkenaan, Datuk Razlan Razali berkata pasukan itu akan menyertai dua sesi latihan musim sejuk iaitu dari 19-21 Februari di Litar Antarabangsa Sepang, serta sesi kedua di Litar Antarabangsa Losail dari 10-12 Mac 2021.

Pelumba pasukan Moto2 dan Moto3 Petronas Sprinta Racing di bawah pasukan berkenaan hanya akan menyertai satu sesi latihan pramusim iaitu dari 16-18 Mac 2021 di Litar Jerez, Sepanyol.

"Memandangkan kebanyakan pelumba kita sudah berpengalaman luas, jadi kita tidak perlu memantau prestasi mereka semasa latihan luar musim seperti Darryn Binder dan John McPhee, apatah lagi Franco Morbidelli dan Valentino Rossi," katanya.

Dalam pada itu, Razlan memaklumkan pelumba Moto2 Petronas Sprinta Racing iaitu Jake Dixon dari United Kingdom masih menjalani rawatan pemulihan dan dijangka kembali beraksi pada pusingan pembukaan di Qatar nanti.

Beliau menjelaskan Dixon sudah boleh melakukan beberapa aktiviti kecergasan termasuk larian dan berbasikal, di samping masih meneruskan proses fisioterapi untuk pergelangan tangan kanannya.

"Kita agak yakin sama ada pada Januari atau Februari hadapan beliau sudah boleh menaiki motosikal seperti biasa dan sempat beraksi untuk aksi sulung di Qatar nanti," kata Razlan.

Dixon mengalami kecederaan pergelangan tangan kanan ketika sesi latihan bebas kedua pada Grand Prix Valencia pada awal bulan lepas sebelum mengambil keputusan menjalani pembedahan di England.

Bekas juara dunia MotoGP tujuh kali Valentino Rossi dari Itali, bakal berganding dengan rakan senegaranya, Franco Morbideli dalam kelas MotoGP.

Petronas Sprinta Racing turut mengekalkan khidmat pelumba Sepanyol, Xavi Vierge dan Dixon bagi kelas Moto2, namun mengambil keputusan menggugurkan pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi.

Slot Khairul Idham diisi oleh pelumba Afrika Selatan, Darryn Binder yang bakal berganding dengan McPhee dalam kelas Moto3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 5:42 PM