WILLIAN jaring dua gol bantu Chelsea benam Sheffield. -Foto Reuters
WILLIAN jaring dua gol bantu Chelsea benam Sheffield. -Foto Reuters
Reuters

LONDON: Dua gol sumbangan Willian serta satu menerusi Callum Hudson-Odoi menyaksikan Chelsea meraih kemenangan 3-0 ke atas Sheffield Wednesday, pada saingan Piala FA dan mara ke pusingan kelima dengan Gonzalo Higuain melakukan penampilan pertamanya, pagi tadi.

Wllian yang juga pemain antarabangsa Brazil, menjaringkan gol kedua tujuh minit sebelum tamat perlawanan, dengan gol pertama sumbangannya hadir menerusi sepakan penalti pada minit ke-26.

Hudson-Odoi yang dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Jerman, Bayern Munich, turut menyumbang gol di separuh masa kedua pada minit ke-64.

“Saya rasa kami beraksi dengan baik. Ia adalah satu persembahan yang hebat.

“Kami bekerja keras ketika sesi latihan dan ia membuahkan hasil. Bagi saya, sudah pasti saya gembira kerana dapat menjaringkan gol,” kata Hudson-Odoi. 

Ditanya adakah ia perlawanan terakhirnya untuk Chelsea kerana jendela perpindahan pemain akan ditutup Khamis ini, pemain berusia 18 tahun itu berkata; “Saya tak pasti dan tak dapat beritahu apa-apa. Saya sentiasa bekerja keras dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini.

Sheffield Wednesday dihadiahkan sepakan penalti minit ke-22, selepas pemain tengah Chelsea, Ethan Ampadu menjatuhkan Joey Pelupessy, tetapi ia hanya diperolehi menerusi ulang tayang video bantuan pengadil (VAR).

Higuain yang dipinjamkan dari Juventus minggu lalu, tidak mengecewakan apabila beraksi dengan baik sebelum digantikan dengan Olivier Giroud, 10 minit sebelum tamat perlawanan. 

“Kami gembira dengan persembahan Higuain. Dia cuba mencari ruang dan memenangi bola tetapi ia bukanlah mudah kerana dia menerima kawalan ketat. 

“Apapun ia adalah keputusan yang baik. Kami sedar betapa sukarnya saingan untuk merebut Piala FA kerana semua pasukan dilihat bekerja keras,” kata penolong pengurus Chelsea, Gianfranco Zola.  

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 11:22 AM