Hanis Nadiah. FOTO NSTP
Hanis Nadiah. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran

 

KUALA LUMPUR: Penyerang PKS Uniten, Hanis Nadiah Onn enggan ambil pusing dengan reputasi kelab China, Liaoning Infinite Space HC yang bakal ditemui pada saingan Liga Hoki Wanita esok.

Tampil kali pertama beraksi di liga tempatan, Liaoning seakan memberi amaran kepada semua pasukan termasuk PKS Uniten yang juga juara bertahan liga apabila tidak berdepan masalah menewaskan KL Wipers 4-0 pada perlawanan pertama, semalam.

Bagaimanapun Hanis yang turut mempunyai reputasi gah selaku penjaring terbanyak liga musim lalu berkata, PKS Uniten tetap dengan misi untuk meraih tiga mata penuh.

"Sama ada mereka pasukan dari China atau apa saja, kami tetap letak sasaran untuk raih tiga mata.

"Setakat ini kami memang tidak tahu kekuatan mereka. Kami akan mengkaji perlawanan mereka menerusi ulang tayang video. 

"Tapi berdasarkan keputusan perlawanan pertama, saya rasa mereka juga adalah pasukan yang bagus," katanya ketiika dihubungi hari ini.

PKS Uniten setakat ini cemerlang apabila menduduki tangga teratas liga dengan meraih enam mata hasil daripada dua kemenangan.

Pertama ketika menewaskan PSHA-MSSPP 8-0 dan yang kedua menundukkan seteru utama, PDRM Blue Warriors 1-0.

"Kemenangan ke atas PDRM sangat penting kerana mereka antara pesaing utama kami di saingan liga," katanya.

Hanis yang juga penyerang utama skuad kebangsaan berkata, dia meletakkan sasaran membantu pasukan mempertahankan kejuaraan liga selain mengekalkan reputasi selaku penjaring terbanyak liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 6:37 PM