SIM harap 2019 bakal  memberi sinar buat atlet dan bekas atlet. FOTO/NSTP
SIM harap 2019 bakal memberi sinar buat atlet dan bekas atlet. FOTO/NSTP
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim mengharapkan 2019 bakal memberikan sinar baharu buat atlet dan bekas atlet kebangsaan terutama kebajikan mereka.

Menurutnya, antara perkara yang ditekankan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ialah memperluaskan perlindungan kesihatan atlet dan bekas atlet kebangsaan.

"Antara agenda KBS 2019 ialah menubuhkan pusat sehenti untuk atlet dan bekas atlet kebangsaan. Segala perkhidmatan kebajikan, rundingan perubatan dan pendidikan serta kerjaya terdapat di pusat berkenaan," katanya ketika ditemui semalam.

Ujar Steven, pusat sehenti itu juga akan menerima kehadiran atlet yang ingin membuat aduan dan semua itu adalah untuk menawarkan suasana lebih baik buat atlet dan bekas atlet kebangsaan.

"Menerusi pusat seperti ini mereka mampu untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap latihan dan mengharumkan nama negara," katanya.

Walaupun wujudnya pusat sehenti berkenaan, Steven menegaskan bahawa Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akan dikekalkan untuk menjaga kebajikan bekas atlet negara.

Dalam pada itu, KBS juga mengharapkan kerjasama yang baik di antara persatuan sukan dan atlet dengan menitikberatkan aspek latihan, pemilihan, pertandingan dan penganjuran kejohanan.

"Kita juga mahu memastikan kerjasama yang baik bersama pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia sekali gus semua perkara ini mampu untuk meningkatkan lagi prestasi sukan negara," kata Steven.

Beliau juga mengakui selepas menjawat jawatan timbalan menteri dalam tempoh enam bulan, banyak kerja yang masih perlu dilaksanakan.

"Setakat ini, banyak perancangan yang kita laksanakan sudah masuk peringkat akhir. Apa yang saya mahu lihat ialah perancangan ini boleh dilaksanakan sepenuhnya pada 2019," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 8:09 PM