PEMAIN Pahang kecewa selepas tidak menerima hadiah kemenangan Piala Emas Raja-Raja 2018. FOTO/NSTP
PEMAIN Pahang kecewa selepas tidak menerima hadiah kemenangan Piala Emas Raja-Raja 2018. FOTO/NSTP
Asrol Awang


KUANTAN: Skuad Pahang menuntut Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) membayar segera hadiah kemenangan mereka selaku juara Piala Emas Raja-Raja 2018. 

Pahang yang muncul juara selepas menewaskan Terengganu 1-0 pada aksi final di Temerloh 22 Oktober lalu, terkilan dengan kelewatan pembayaran itu. 

Setakat ini, tiada maklum balas daripada PBSMM bila hadiah kemenangan itu akan diberikan.

Menurut sumber, kelewatan pembayaran hadiah kemenangan RM60,000 itu tidak sepatutnya berlaku kerana kejohanan berkenaan sudah berakhir dua bulan lalu. 

 "Kelewatan itu ternyata memberi kesan kepada pemain yang begitu mengharapkan imbuhan selepas membantu pasukan bergelar juara. 

"Komitmen tinggi terhadap pasukan sepanjang kejohanan seharusnya dipandang serius PBSMM untuk menyegerakan pembayaran sebaik kejohanan berakhir. 

"Bagaimanapun, 30 pemain dan pegawai Pahang kecewa kerana selepas lebih dua bulan menunggu, tiada maklum balas diterima daripada PBSMM,” kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata, kelewatan bayaran imbuhan kemenangan pernah berlaku beberapa tahun lalu dan ia tidak berulang lagi. 

"Dalam isu ini, kami memohon PBSMM memahami situasi yang dialami pasukan kerana ada pemain begitu mengharapkan wang kemenangan itu," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 7:22 PM