MOHAMADOU SUMAREH
MOHAMADOU SUMAREH
Asrol Awang


KUANTAN: Pahang sudah membuat rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mendaftarkan Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, surat rayuan itu dihantar oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) kepada MFL minggu lalu.

“Oleh itu, kami harap MFL mempertimbangkan Sumareh yang juga pemain naturalisasi didaftarkan sebagai pemain tempatan.

“Sudah pasti peminat bola sepak khususnya Pahang mahu melihat Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan selepas membantu skuad kebangsaan muncul naib juara Piala AFF.

“Sememangnya kami mengharapkan keputusan positif daripada MFL terutama bagi urusan pendaftaran pemain import baharu dalam usaha memperkasakan skuad Tok Gajah,” katanya.

Pada Oktober lalu, MFL mengesahkan Pahang yang juga juara Piala FA boleh mendaftar Sumareh sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga M musim 2019.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Gambia itu hanya boleh didaftarkan bermula Mac 2019 sekali gus menyaksikan dia tetap mengisi kuota pemain import pada jendela perpindahan pertama sebelum boleh bertukar status pada jendela perpindahan kedua.

Bagi saingan Liga Super, MFL membenarkan kuota lima pemain import. Pahang kini memiliki dua status import iaitu Sumareh dan Safuwan Baharudin.

Jika rayuan Sumareh diterima, skuad kendalian Dollah Salleh boleh menyenaraikan empat lagi pemain import.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 1:03 PM