SKUAD karate ceria selepas meraih emas ke-35 untuk membolehkan kontinjen AUG negara menepati sasaran yang ditetapkan. FOTO E-mel
SKUAD karate ceria selepas meraih emas ke-35 untuk membolehkan kontinjen AUG negara menepati sasaran yang ditetapkan. FOTO E-mel

NAY PYI TAW: Sehari sebelum Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 melabuhkan tirainya, kontinjen Malaysia bukan sahaja berjaya mencapai sasaran 35 pingat emas yang ditetapkan tetapi turut mendapat bonus dua emas tambahan.

Bagaimanapun, debaran untuk meraih emas ke-35 itu diletakkan dalam acara karate berpasukan lelaki dan wanita serta catur.

Akhirnya pasukan karate kumite lelaki muncul wira selepas berjaya menumpaskan juara bertahan Thailand 3-0 untuk memenangi emas ke-35 itu.

S Prem Kumar Selvam, A Somanroy, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik, R Ganesan Raman, R Mathevanan dan Noor Azizan Nor Azli berjaya menampilkan aksi bertenaga, manakala hasrat untuk melihat skuad wanita menambah pungutan emas tidak kesampaian apabila sekadar meraih gangsa.

Emas yang diraih itu membolehkan karate mencapai sasaran ditetapkan iaitu empat pingat emas keseluruhan.

“Alhamdulillah pasukan karate berjaya capai sasaran dan prestasi atlet sangat membanggakan walaupun menerima saingan sengit atlet tuan rumah Myanmar dan Thailand," kata pengurus pasukan, Mohd Razlan Shah Mohamad Rabii.

Skuad catur turut cemerlang apabila menyumbang dua lagi emas melalui Tan Li Ting (individu wanita) dan acara berpasukan wanita (Li Ting, Nur Nabila, Nur Najiha dan Puteri Rifqah)

Sementara itu, kejayaan melepasi sasaran 35 emas yang ditetapkan itu jelas memberikan kelegaan kepada ketua kontinjen, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

"Mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk mengharumkan nama negara. Ini adalah hadiah kepada Malaysia yang amat bermakna dalam menjulang atlet intelek untuk terbabit dalam sukan dan mengharumkan negara," katanya.

Menjelang majlis penutup esok, Thailand berada di kedudukan teratas dengan meraih 54 emas, 50 perak dan 34 gangsa, diikuti Indonesia, 42 emas, 34 perak dan 27 gangsa dan Malaysia di tangga ketiga 37 emas, 42 perak dan 50 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 7:56 PM