AZLAN tamatkan saingan di tempat kelima. FOTO/NSTP
AZLAN tamatkan saingan di tempat kelima. FOTO/NSTP
hmarena

KUALA LUMPUR: Azlan Shah Kamaruzaman terlepas gelaran keseluruhan dalam kelas SuperSports 600cc yang dimenanginya musim lalu kepada pesaing dari Thailand, Ratthapong Wilairot pada pusingan akhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang menutup tirainya di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu perlu memenangi Perlumbaan 2 hari ini untuk muncul juara keseluruhan namun kecewa apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan masa keseluruhan 30 minit 06.927 saat di belakang Ratthapong yang memenangi perlumbaan dengan masa keseluruhan 30’00.360s, sekaligus mengesahkan gelaran keseluruhan yang kali terakhir dimenangi pelumba Thailand melalui rakan sepasukan Ratthapong, Decha Kraisart pada tahun 2010.

Decha turut menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan masa 30’00.701s diikuti rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira dari Indonesia di tempat ketiga dengan catatan 30’03.412s.

Penamat di tempat kelima menyaksikan Azlan menamatkan musim 2018 di kedudukan keempat keseluruhan dengan 123 mata.

Ratthapong di kedudukan teratas dengan 141 mata diikuti Anthony West (136 mata) manakala Yudhistira di kedudukan ketiga (131 mata).

“Minggu ini begitu mengecewakan saya. Saya mahu menamatkan musim terakhir dalam kelas ini di kedudukan teratas namun gagal,” kata Azlan yang akan beralih ke kelas ASB1000cc pada musim 2019.

“Saya sudah mencuba yang terbaik namun keupayaan jentera yang tidak berada pada tahap maksimum menyaksikan saya gagal untuk mengejar pelumba di hadapan. Walaubagaimanapun, musim ini sudah tamat dan saya perlu bersedia untuk musim 2019.”

 

Keputusan Perlumbaan 2

SuperSports 600CC

1. Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 30’00.360s

2. Decha Kraisart (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 30’00.701ss

3. Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30’03.412s

4. Tomoyoshi Koyama (JPN) Musashi Boon Siew Honda Racing 30’03.412s

5. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30’06.927s

Kedudukan Keseluruhan

1. Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 141 mata

2. Anthony West (AUS)  Webike IKAZUCHI Racing 136 mata

3. Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 131 mata

4. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 123 mata

5. Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team 117 mata

Kedudukan Keseluruhan Berpasukan

1. Webike IKAZUCHI Racing 162 mata

2. Manual Tech KYT Kawasaki Racing 162 mata

3. YAMAHA Thailand Racing TEAM 160 mata

4. Musashi Boon Siew Honda 144 mata

5. Yamaha Racing Asean 120 mata

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 8:28 PM