UNAI EMERY
UNAI EMERY
Agensi

LONDON: Tindakan Unai Emery menggugurkan Mesut Ozil daripada kesebelasan utama Arsenal bermakna tiada pemain boleh merasakan mereka selamat tanpa bekerja keras, kata bekas pemain Gunners, Lee Harper. 

Pemain kelahiran Jerman, Ozil dianggap sebagai penanda aras buat Gunners sejak berpindah ke London dari Real Madrid pada 2013, dan mencipta reputasi sebagai seorang perancang elit di Liga Perdana Inggeris.

Dia yang mengumumkan persaraan dari pentas antarabangsa tahun lalu memecahkan beberapa rekod umpanan untuk Arsenal, selain meledak lebih 40 gol dalam 208 penampilan.

Tetapi Emery begitupun jarang menurunkan Ozil sejak kebelakangan ini dengan bintang itu hanya membuat dua penampilan dalam semua kejohanan pada November.

Jadi, Harper yang juga bekas penjaga gol England percaya pengurus kelahiran Sepanyol itu memberikan mesej yang jelas betapa prestasi di bawah tahap sebenar tidak boleh diterima daripada pemain berpengalaman Arsenal.

“Saya fikir Emery sudah melakukan tugas yang mengagumkan. Dia membuatkan semua orang dapat merasai udara yang segar, membuat beberapa perubahan secara taktikal dan membawa idea baharu,” kata Harper.

“Malah beliau juga mengetepikan Mesut Ozil kerana dia tidak gembira dengan usaha yang dilakukan pemain itu dan ia memberitahu kamu tiada siapa yang selamat.

“Semua orang tahu mereka perlu keluar (bekerja keras) dan memberikan 100 peratus.”

Arsenal yang menghuni tangga keempat Liga Perdana akan meneruskan kempen domestik itu bertemu seteru tetangga London, Tottenham Hotspur, yang berada di tangga ketiga liga, esok.

“Saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang sukar, sama sukar seperti menentang Liverpool,” katanya.

“Tottenham masih segar dengan kemenangan yang cukup besar menentang Chelsea dan mereka mempunyai pemain yang amat bagus.

“Saya fikir ia perlawanan yang lebih besar buat Arsenal. Tottenham pasti lebih berpuas hati untuk keluar dari Emirates dengan satu mata dengan Arsenal memerlukan ketiga-tiganya untuk kekal di kedudukan terbaik.

“Jika mereka tewas kepada Spurs, akan ada ada jurang enam mata di antara mereka dan kamu memang tidak mahukannya pada tahap ini pada musim ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 11:32 AM