PEMAIN Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh. FOTO Saifullizan Tamadi
PEMAIN Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh. FOTO Saifullizan Tamadi
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Pemain sayap skuad bola sepak negara, Mohamadou Sumareh menegaskan sasaran menamatkan kemarau jaringan dalam Piaa AFF bukan menjadi fokus utamanya pada aksi separuh akhir pertama berdepan Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Sebaliknya, pemain naturalisasi pertama negara itu lebih mementingkan kejayaan pasukan untuk meraih kemenangan ke atas skuad Gajah Perang berbanding sasaran peribadi.

“Saya mahu membantu pasukan meraih kemenangan, itu paling utama. Tapi jika dapat menjaringkan gol, ia satu bonus kepada saya sebagai pemain.

“Kami perlu bermain sebagai satu pasukan dan jika saya boleh membantu pemain lain mencipta jaringan, saya sudah gembira.

“Saya akan berikan segala-galanya untuk memastikan pasukan dapat meraih keputusan positif pada perlawanan esok,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional, hari ini.

Sumareh yang beraksi cemerlang bersama Harimau Malaya masih belum mendapat sentuhan jaringan pada penampilan pertamanya dalam kempen Piala AFF bersama Harimau Malaya.

Namun, peranannya terhadap Harimau Malaya tidak boleh dipertikai terutama apabila gandingan mantapnya bersama Syahmi Safari di bahagian kanan berjaya membantu skuad kendalian Tan Cheng Hoe meraih kemenangan 3-0 ke atas Mynamar pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Mengulas lanjut, pemain berusia 26 tahun itu mengakui semakin selesa dengan tugas yang diberikan Cheng Hoe sebagai pemain sayap kanan negara.

“Sebenarnya ia bergantung kepada situasi permainan. Setiap perlawanan saya dan Syahmi mempamerkan persembahan berbeza, tapi kami melakukan tugas dengan baik.

“Jadi saya sangat teruja untuk beraksi pada perlawanan esok dengan penyokong sudah pasti memenuhi stadium. Tapi memang itu yang kami harapkan di mana penyokong terus berada di belakang kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 8:39 PM