GONZALO HIGUAIN
GONZALO HIGUAIN
Agensi

TURIN: Kelmarin adalah hari malang buat Gonzalo Higuain, tetapi Cristiano Ronaldo menegaskan yang dia berharap penyerang AC Milan itu tidak dihukum terlalu keras akibat tindakannya selepas dilayangkan kad merah.

Penyerang Argentina itu yang  juga bekas pemain Juventus  sebelum itu terlepas sepakan penalti dan dilayangkan kad kuning kedua kerana membantah dan kemudian menolak Ronaldo sehingga dia terpaksa ditenangkan rakan-rakan sepasukan dan juga lawan.

Walaupun menjadi mangsa kemarahan Higuain, Ronaldo tetap mempertahankan lawannya itu dengan mendedahkan apa yang dia perkatakan kepada Higuain ketika di atas padang.

“Saya memberitahunya untuk bertenang, kerana dia berisiko dikenakan hukuman lebih berat,” kata Ronaldo selepas perlawanan. 

“Dia tidak buat apa-apa, dia cuma bengang kerana tewas, itu perkara biasa dan saya harap dia tidak dihukum terlalu berat.”

Pengendali AC Milan Gennaro Gattuso bagaimanapun tidak menyuarakan nada sama terhadap pemainnya itu.

“Saya harap Pipita (Higuain) meminta maaf kepada pengadil di atas sikapnya itu,” kata Gattuso. “Dia perlu belajar mengawal dirinya.

“Saya nampak tekanan dihadapinya, mengambil penalti ke atas bekas kelabnya, sesiapa yang bermain bola sepak tahu perasaan itu apabila berdepan situasi begini.”

Higuain ketika ini masih terikat dengan Juventus tetapi dipinjamkan semusim kepada Milan.

“Pertama sekali saya mahu meminta maaf kepada pasukan, jurulatih, penyokong dan pengadil di atas tindakan saya,” kata Higuain. “Saya bertanggungjawab di atas apa yang berlaku. Saya harap ia tidak akan berulang.” 

Kemenangan 2-0 itu meletakkan Juventus dengan kelebihan enam mata di puncak liga selepas merakam 11 kemenangan dan seri sekali dalam 12 perlawanan liga musim ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 7:45 AM