PEMAIN City meraikan kemenangan ke atas United. -Foto Reuters
PEMAIN City meraikan kemenangan ke atas United. -Foto Reuters
Reuters

MANCHESTER: Pendahulu Liga Perdana, Manchester City melakar kemenangan bergaya mengatasi Manchester United 3-1, awal pagi tadi, membolehkan skuad kendalian Pep Guardiola yang masih belum tewas berada di kedudukan teratas dengan kelebihan dua mata mengatasi Liverpool.

Tiada lagi keraguan pasukan terbaik di Manchester dengan City sekali lagi berusaha membuktikan dominasi di Liga Perdana walaupun saingan masih panjang.

Pemain gantian, Ilkay Gundogan meledak jaringan ketiga pasukan pada minit ke-86 untuk melengkapkan 44 kali hantaran pemain City bagi memastikan kemenangan mutlak dicapai.

Namun dari aspek kualiti bola sepak, hantaran, pergerakan, susunan dan kemahiran individu, City berada di tahap tersendiri berbanding anak buah Jose Mourinho dengan United berada pada kedudukan kelapan kini ketinggalan 12 mata di belakang City.

David Silva membuka jaringan untuk City menerusi jaringan minit ke-12 selepas hantaran Raheem Sterling dari sebelah kiri dan sepanjang babak pertama, City selesa mendominasi.

GUNDOGAN (kanan) jaring gol ketiga City ketika menewaskan United. -Foto Reuters
GUNDOGAN (kanan) jaring gol ketiga City ketika menewaskan United. -Foto Reuters

Tiga minit selepas perlawanan bersambung, City menggandakan jaringan menerusi Sergio Aguero yang bijak bertukar hantaran dengan Riyad Mahrez walaupun mempunyai ruang yang sempit untuk mengatasi David de Gea.

Mourinho yang turun tanpa pemain tengah Perancis Paul Pogba kerana kecederaan, menurunkan Romelu Lukaku mengggantikan Jesse Lingard pada minit ke-57 dan dengan pantas penyerang Belgium itu membantu pasukan kembali bangkit.

Lukaku dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gol City, Ederson dan penyerang Perancis, Anthony Martial dengan penuh keyakinan menyempurnakan penalti.

Guardiola tidak mahu terbawa-bawa dengan jurang tipis skuadnya ke atas Liverpool.

“Ia hanya dua mata, empat mata dari Chelsea, tiada sebarang makna namun ia bagus terutamanya apabila melihat dari mana kami bermula.

“Apabila anda meraih kemenangan 100 peratus (musim lalu), orang bertanya...adakah anda mampu mengekalkan tahap itu? Semua perlu berada pada tahap tertentu jika mahu mengekalkannya,” katanya.

City meletakkan harapan meraih kejuaraan di pentas domestik dan Eropah namun fokus Mourinho tidak terlalu tinggi selain mahu layak ke Liga Juara-Juara.

“Kami tidak berada dalam kelompok empat terbaik, bagaimana kami mahu berbicara tentang kejuaraan? Kami perlu merapatkan jurang terlebih dulu untuk menjadi empat pasukan terbaik,” katanya.

“Terdapat jurang 12 mata. Pasukan kami meningkat termasuk ketika bertahan walaupun melepaskan tiga gol, ia persembahan yang positif. Ia adalah kesilapan individu.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 8:02 AM