LUKAKU (kiri) jaring gol kedua buat United selepas jaringan Mata tak diiktiraf. -Foto Reuters
LUKAKU (kiri) jaring gol kedua buat United selepas jaringan Mata tak diiktiraf. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Perdebatan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) kembali dibangkitkan ketika dua jaringan Romelu Lukaku memastikan Manchester United mara ke suku akhir Piala FA hasil kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield, awal pagi tadi.

Begitupun, kontroversi yang tercetus adalah susulan keputusan tidak memihak kepada skuad kendalian Jose Mourinho.

Juan Mata merasakan dia sudah meletakkan United mendahului 2-0 sebelum babak pertama berakhir tetapi jaringan pemain Sepanyol itu dibatalkan oleh VAR selepas penangguhan panjang serta tanpa bukti konkrit yang mengatakan pegawai di atas padang membuat keputusan yang salah.

Begitupun, keputusan itu tidak banyak mengubah perlawanan apabila Lukaku menjaringkan gol pada kedua-dua babak permainan untuk menambah jumlah jaringannya musim ini kepada 21 gol.

“Jika mereka memiliki VAR untuk membantu mereka membuat keputusan yang betul, saya fikir pengadil akan gembira,” kata Mourinho.

“Tetapi apabila VAR mengubah keputusan yang baik kepada buruk, saya fikir mereka tidak gembira dengannya.”

LUKAKU (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukannya. -Foto Reuters
LUKAKU (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukannya. -Foto Reuters

United dijadual bertemu Brighton di peringkat lapan terakhir dengan Chelsea berkunjung ke Leicester yang menyaksikan empat daripada lima pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak bertembung di suku akhir.

Manchester City akan menanti Southampton jika mereka mengatasi Wigan, awal pagi esok dan Tottenham akan membuat kunjungan sama ada ke Sheffield Wednesday atau Swansea.

Pada aksi di Stadium John Smith, United sekali lagi tidak menyenaraikan Paul Pogba susulan masalah kesihatan dengan Mourinho membuat enam perubahan berbanding skuadnya yang tewas mengejut di St. James’ Park, minggu lalu.

Lukaku pantas membayar kepercayaan itu apabila menjaringkan gol pembukaan seawal minit ketiga menerusi hantaran Mata dan menyumbat gol kedua peribadi pada minit ke-55.

Sementara itu, West Brom mengucapkan selamat tinggal kepada kempen Piala FA apabila disingkirkan satu lagi kelab bergelut di EPL, Southampton 2-1 di Hawthorns. 

Brighton juga melangkah ke pusingan lapan terbaik dengan menamatkan perjalanan kelab divisyen empat, Coventry City dengan kemenangan 3-1.

Sheffield Wednesday dan Swansea City terpaksa beraksi dalam perlawanan ulangan selepas permainan berakhir seri 0-0.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 7:59 AM