GUARDIOLA berkata pemainnya merasakan tekanan di Madrid tetapi kini mereka mesti memperkuat semula pasukan. FOTO AFP
GUARDIOLA berkata pemainnya merasakan tekanan di Madrid tetapi kini mereka mesti memperkuat semula pasukan. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Manchester City perlu segera melupakan kekecewaan mereka selepas gagal mara ke peringkat akhir Liga Juara-Juara.

Ini kerana mereka masih perlu meneruskan perlawanan hujung minggu ini bagi merebut gelaran juara Liga Perdana daripada Liverpool.

Hanya tinggal beberapa minit untuk City menempah slot ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara sebelum Real Madrid bangkit menundukkan mereka dalam masa tambahan.

Hanya satu mata memisahkan kedudukan City dan Liverpool dengan baki empat perlawanan lagi. Pasukan kendalian Pep Guardiola itu akan melayani kunjungan Newcastle United ahad ini.

Guardiola berkata pemainnya merasakan tekanan di Madrid tetapi kini mereka mesti memperkuat semula pasukan bagi mengekalkan kedudukan di takhta liga.

"Sekarang kami perlu membentuk semula pasukan dengan baki empat perlawanan lagi," katanya.

Liverpool menerima kunjungan Tottenham Hotspur pada Sabtu ini dan berpeluang merampas semula kedudukan teratas liga dalam usaha mereka merebut empat trofi musim ini.

Pasukan Jurgen Klopp tidak pernah tewas di tempat sendiri dalam liga musim ini, selepas memenangi 14 daripada 17 perlawanan di Anfield.

The Reds dilihat penuh keyakinan selepas menang di Villarreal pada perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Selasa lalu.

Kali terakhir Spurs menang di Anfield pada 2011 akan tetapi pengurusnya Antonio Conte berkata pasukannya itu akan membawa sesuatu daripada perlawanan itu nanti.

"Mungkin seseorang berfikir bahawa kami perlu mendapatkan mata dalam perlawanan lain, tetapi saya fikir kami perlu bersedia untuk perlawanan ini dan pergi ke sana untuk mendapatkan mata.

"Bagi kami, setiap perlawanan adalah penting," tambahnya.

Tottenham berada di tempat kelima dan mengejar tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 5:34 PM