SLAVISA JOKANOVIC
SLAVISA JOKANOVIC
Agensi

LONDON: Slavisa Jokanovic menegaskan beliau individu tepat untuk memperbaiki Fulham dan tidak pernah sesekali luntur keyakinan mengenai kaedahnya selepas menerima keyakinan daripada pemilik kelab, Shahid Khan.

The Cottagers mempunyai rekod pertahanan terburuk dalam rekod lima divisyen terbesar Eropah selepas minggu lalu tewas 2-4 di tangan Cardiff yang bermakna mereka kini sudah melepaskan 25 gol setakat ini musim ini.

Jokanovic berkata, beliau masih mampu mengemudi kelab barat London itu ke tangga pertengahan Liga Perdana Inggeris.

Fulham ketika ini berada di kelompok tiga tercorot liga dan ditanya mengenai kritikan diterima, Jokanovic berkata: “Saya tidak berasa diri tidak dihormati. Saya harus menerima sebahagian daripada tanggungjawab saya.

“Saya tidak boleh kecewa atau merungut. Apa yang boleh dilakukan adalah berani, terus berusaha dan mempercayai diri sendiri. Saya tidak pernah berhenti mempercayai diri sendiri. Saya tidak pernah berhenti mempercayai pemain saya.

“Saya tahu tugas saya. Ini juga sebahagian daripada proses. Proses ini tidak pernah akan berhenti. Kami harus mencapai sasaran kami pada Mei, 29 perlawanan menanti kami. Kami harus berani, kuat dan bersedia.”

Fulham membelanjakan lebih £100 juta (RM535 juta) pada musim panas lalu dengan menandatangani 12 pemain tetapi hanya sekali meraih kemenangan - dalam perlawanan di laman sendiri menewaskan Burnley 4-2, Ogos lalu.

Ketika November musim lalu, barisan kendalian Jokanovic berada di tangga ke-17 Liga Kejuaraan sebelum menjamin slot ke liga elit menerusi playoff.

Mereka ketika ini berada di tangga ke-18 liga menjelang pertemuan dengan Bournemouth di Craven Cottage, malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 1:18 PM