RANIERI janji selamatkan Fulham tersingkir daripada EPL. FOTO/FULHAM
RANIERI janji selamatkan Fulham tersingkir daripada EPL. FOTO/FULHAM
Agensi

LONDON: Fulham tidak akan ‘berputus asa’ dalam pertarungan mereka mengelak penyingkiran daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, kata pengurus baharu Claudio Ranieri.

Skuad The Cottagers memecat Slavisa Jokanovic kelmarin dan terus melantik pengendali dari Itali, Ranieri yang membimbing Leicester mencipta kejutan dengan meraih gelaran pada 2016.

Fulham kini di kedudukan terbawah liga dengan hanya mengumpul lima mata daripada 12 perlawanan.

"Saya harap musim ini kami akan selamat dan terus meningkat," kata Ranieri.

Jokanovic yang dilantik pada Disember 2015, membantu Fulham naik taraf hasil kemenangan play off musim lalu.

Namun kelab dari London itu tewas enam perlawanan liga dan melepaskan 31 gol musim ini.

Perlawanan pertama Ranieri ialah menanti kehadiran pasukan yang juga bergelut, Southampton di Craven Cottage pada Sabtu, 24 November diikuti pertemuan dengan bekas kelab bimbingannya, Chelsea dan Leicester City.

Pengendali berusia 67 tahun itu memberitahu laman sesawang Fulham: "Saya rasa Jokanovic bukan saja pemain yang baik tetapi juga pengurus yang membuat permulaan baik dalam kariernya. Musim ini saya tidak percaya apa yang berlaku. Mereka pasukan yang baik dan berkualiti.

"Sebagai pengurus dari Itali, bagi kami cara bertahan paling baik buat pasukan. Adalah penting memiliki visi kuat untuk bertahan. Bukan hanya pertahanan atau penjaga gol, keseluruhan pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 5:10 PM