INSIDEN pergaduhan antara Mourinho dan Ianni yang berlaku semasa tamat aksi antara United dan Chelsea. -Foto AFP
INSIDEN pergaduhan antara Mourinho dan Ianni yang berlaku semasa tamat aksi antara United dan Chelsea. -Foto AFP
AFP

LONDON: Pembantu jurulatih Chelsea, Marco Ianni didakwa atas tuduhan melakukan tindakan tidak wajar susulan provokasi terhadap pengurus Jose Mourinho yang turut diingatkan Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) mengenai tanggungjawabnya.

Ketegangan tercetus di hadapan terowong persalinan Stamford Bridge selepas Ross Barkley menjaringkan gol pada masa kecederaan yang menyaksikan Chelsea terselamat untuk seri 2-2, Sabtu lalu.

Bekas pengurus Chelsea, Mourinho berang dengan cara Ianni yang juga pembantu kepada bos Blues, Maurizio Sarri meraikan jaringan berkenaan di depan tempat duduk pemain gantian United.

Pengendali dari Portugal itu bingkas dari tempat duduknya tetapi ditahan oleh staf keselamatan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Ianni dan Sarri sudah membuat permohonan maaf kepada Mourinho dengan pengurus United itu menganggap perkara berkenaan sudah selesai tetapi badan induk, FA membuat keputusan untuk mengambil tindakan.

“Jurulatih Chelsea Marco Ianni didakwa susulan perlawanan menentang Manchester United pada Sabtu,” kata FA dalam satu kenyataan. “Ia berkaitan dengan sikapnya pada minit ke-96 yang dianggap tidak wajar. 

“Berkait dengan insiden berkenaan, Jose Mourinho juga sudah diingatkan mengenai tanggungjawabnya manakala kedua-dua kelab menerima peringatan yang sama dengan sikap yang diharapkan terhadap staf dan pemain ketika berada di kawasan teknikal.” 

Mourinho dalam pada itu berkata dia tidak bermaksud untuk meneruskan pergeseran apatah lagi mahu Ianni dipecat.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Sarri atas kejujurannya,” kata Mourinho menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Juventus, awal pagi ini. 

“Tetapi saya tidak gembira dengan tindakan melampau budak kecil (Ianni). Dia meminta maaf kepada saya, saya menerimanya. Saya fikir dia layak dapat peluang kedua.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 8:06 AM