DHAARMA sambut baik penyertaan Singapura. FOTO/FAIL
DHAARMA sambut baik penyertaan Singapura. FOTO/FAIL
Jugjet Singh


KUALA LUMPUR: Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah menyambut baik penyertaan semula Singapura dalam kancah Piala Razak, yang dianggapnya akan membawa manfaat jangka masa panjang kepada pemain tempatan.

Piala Razak berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil selama sembilan hari bermula Jumaat ini dan ia membabitkan kategori lelaki dan wanita.

Pasukan lelaki Singapura akan beraksi dalam Divisyen Dua manakala pasukan wanita pula dalam Kumpulan A.

Tahun lalu Singapura, Thailand dan Indonesia beraksi dalam Divisyen Dua lelaki, dengan Indonesia muncul satu-satunya pasukan luar negara yang mengambil bahagian dalam kategori wanita.

Bagaimanapun, kategori lelaki tahun ini dilangsungkan tanpa pemain kebangsaan yang berada di Oman bagi mengharungi saingan Trofi Juara-Juara Asia, berbanding wanita yang diperkuatkan kehadiran pemain kebangsaan untuk menjadikan ia lebih kompetitif.

Bercakap mengenai kategori wanita, Dhaarma percaya Piala Razak dan Liga Hoki Wanita Malaysia 2019 sepatutnya menarik kehadiran lebih ramai pemain asing dalam usaha meningkatkan prestij kedua-dua saingan itu.

“Saya mengalu-alukan kehadiran Singapura untuk memberikan saingan sihat kepada semua pasukan di Piala Razak. Kita perlu selalu bermain dengan pemain dari negara lain untuk meningkatkan prestasi pemain tempatan.

“Pemain kebangsaan akan beraksi dalam Piala Razak, kecuali lapan pemain yang beraksi di Eropah dan pemain yang akan menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

“Selain itu semuanya kembali beraksi untuk negeri masing-masing dan saya harap Singapura akan memberikan cabaran  kompetitif untuk meningkatkan permainan pemain kita,” katanya.

Bagi saingan lelaki, Negeri Sembilan yang layak ke separuh akhir tahun lalu, mahu menamatkan badi dan memenangi kejohanan itu.

Ketua jurulatihmya, S Chandran berkata: “Dengan pemain kebangsaan tidak beraksi kali ini, semua negeri akan mempunyai peluang seimbang dan kami harap untuk memenanginya selepas perjalanan kami berakhir di separuh akhir tahun lalu.”

Sebagai rekod, Perak muuncul juara lelaki tahun lalu apabila mengetepikan Terengganu 3-2 sementara Selangor mengatasi pasukan pilihan Pahang 5-2 pada aksi final wanita.

LELAKI

Divisyen 1

•Kumpulan A: Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan, Perlis

•Kumpulan B: Melaka, Pulau Pinang, Johor, Terengganu

Divisyen 2: Pahang, ATM, Kelantan, Selangor, Kedah, Polis , Singapura

WANITA

•Kumpulan A: Kuala Lumpur, Melaka, Selangor, Polis, Singapura

•Kumpulan B: Pulau Pinang, Pahang, ATM, Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 5:20 PM