Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh
Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Status sebagai penyandang juara Liga Hoki Remaja Kebangsaan (TNBMJHL) 2019, bukanlah tiket untuk SSTMI Thunderbolts untuk memandang mudah kepada lawan mereka.

Sebaliknya, TNBMJHL edisi 2021 yang dijadual membuka tirainya di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dari 11 hingga 30 Disember ini bakal menampilkan lawan yang lebih hebat sekali gus memberi tentangan sengit kepada pasukan itu.

Ketua jurulatihnya, Zaidi Zainudin berkata, hasil daripada 'risikan' terhadap pasukan lain mendapati kebanyakan mereka membuat persiapan rapi dengan membariskan pemain terhebat masing-masing.

"Tahun ini saingan dilihat seimbang. Ada pasukan seperti AHP-SSP-MSP Thunderbolts ataupun MBPJ Tigers yang sudah melakukan persiapan lebih awal.

"Setiap pasukan berbeza-beza (persiapan), ada pemain yang berada luar sekolah dan ada pemain di dalam sekolah. Apabila dalam sekolah, ia tertakluk kepada takwim sekolah manakala di luar sekolah dia boleh berlatih di luar kerana SOP (Prosedur Operasi Standard) itu berbeza.

"Ia mungkin menjadi satu kelebihan kepada mereka kerana boleh melakukan persiapan lebih awal dan secara keseluruhannya, saya lihat peluang adalah seimbang kepada kesemua pasukan untuk mencabar kejuaraan," katanya dalam sidang media menjelang TNBMJHL, hari ini.

Selain SSTMI Thunderbolts, AHP-SSP-MSP Thunderbolts dan MBPJ Tigers, turut menyertai saingan Divisyen 1 adalah Anderson Thunderbolts, BJSS Thunderbolts, SMKDBL-PHJ-MSNJ dan SSTMI Jr.

Divisyen 2A pula disertai Torpedo Silverstate HC, Francisan HC, Hockeylah HC, Kedah Eagle Jr, MSNS/PHS, PHNS/MSSNS-B16, Sarawakian Jr dan PHNS Seniors.

Bagi Divisyen 2B pula, ia disertai DBKL HT, M Lions HC-Mutiara Impian, MBPJ Black Widow, MSN-Perlis Jr, MSSPP-PSHA, Nurinsafi Sporting, PHK-MSN Kelantan dan PPHT Thunderbolts.

Anil Jeet (tengah) pada sidang media kejohanan. FOTO KHM
Anil Jeet (tengah) pada sidang media kejohanan. FOTO KHM

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, hanya satu pasukan yang menarik diri bagi edisi kali ini iaitu SSMS Resilient.

"Mengenai pasukan yang bermain, cuma satu saja pasukan menarik diri di saat akhir iaitu SSMS Resilient dari Sabah. Mereka sepatutnya beraksi di Divisyen 1. Sekarang ini, daripada lapan pasukan tinggal tujuh pasukan bagi Divisyen 1 manakala Divisyen 2A dan 2B masih kekal.

"Jadual perlawanan hampir sama, hanya untuk Divisyen 1 kita kurangkan jumlah perlawanan. Untuk venue pula, kita akan bermain di Padang 1 dan Padang 2 (Stadium Hoki Nasional) untuk keseluruhan perlawanan.

"Tiada (format) perlawanan di laman sendiri atau luar disebabkan pandemik, kes baharu (Covid-19) serta varian baharu yang dikesan. Oleh itu, diharapkan dengan SOP diberikan, pengurus pasukan dapat menjaga pemain mereka di sepanjang liga dan kita di KHM akan membantu apa yang diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 6:27 PM