PELUMBA basikal para, Mohd Najib Turano. FOTO Iqmal Haqim Rosman
PELUMBA basikal para, Mohd Najib Turano. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Haika Khazi


BANGI: Pelumba basikal para Mohd Najib Turano tetap optimis masih mampu meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas di Sukan Para Asia Jakarta 2018, biarpun sudah terlepas dua pingat daripada lima acara disertainya kali ini.

Mohd Najib terlepas menang emas dalam acara lumba basikal lebuh raya individu lelaki C4 di Litar Antarabangsa Sentul, Jakarta hari ini selepas ketinggalan kurang dari sesaat daripada pelumba China, Wei Guoping yang muncul juara dengan catatan masa 2 jam:11 minit: 23.665 saat.

Manakala, Mohd Najib pula mencatat 2:11:24.307s untuk pingat perak manakala pelumba Filipina Godfrey Taberna ketiga (2:11:24.359s).

"Alhamdulillah, saya tetap mampu meraih perak acara lebuh raya hari ini. Biarpun terpaksa menahan kesakitan saya tetap berjaya melakukan `attack' untuk mengejar kumpulan yang membuat 'breakaway' walaupun pelumba lain tidak berani berbuat demikian.

"Saya sudah melakukan yang terbaik dan berusaha bersungguh-sungguh sehinggalah pusingan terakhir.

“Bagaimanapun, saya terpaksa memperlahankan kayuhan kerana kaki saya yang mengalami masalah saraf mula mengalami kekejangan otot di bahagian paha.

"Nak bangun sprint saya tidak larat kerana otot paha mula kejang dan hanya mampu sprint duduk serta bersaing sengit bersama pelumba China sehingga ke garisan penamat. Apapun saya syukur dengan pencapaian hari ini," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Mohd Najib berkata dia akan berusaha bermati-matian demi emas dalam acara trek 4km individu lelaki C4 di Sukan Para Asia Jakarta, Jumaat ini.

Berikutan itu dia akan menggunakan masa yang ada untuk berehat dan memulihkan tenaga serta kekuatan supaya dapat merealisasikan impian menang emas pertama Sukan Asia buat dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 10:20 PM