MOHD NAJIB TURANO
MOHD NAJIB TURANO
Haika Khazi


KUALA LUMPUR: Pelumba basikal negara, Mohd Najib Turano tetap optimis dapat menghadiahkan sekurang-kurangnya satu pingat emas kepada rakyat Malaysia apabila  turun beraksi di Sukan Para Asia Jakarta 2018, minggu depan. 

Mohd Najib menjelaskan biarpun hanya diletakkan sandaran untuk menang perak menerusi acara pecut berpasukan campuran, beliau tetap akan berjuang bermati-matian demi merangkul sekurang-kurangnya satu emas sama ada menerusi acara basikal lebuh raya atau 4,000 meter (4km).

Bagaimanapun, Mohd Najib menjangkakan pelumba China dan Iran akan menjadi penghalang utama Malaysia menang pingat dalam acara lumba basikal para 4km dan pecut berpasukan campuran di Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Malah, trio pecut berpasukan campuran China dianggotai oleh Li Zhangyu, Wei Guoping dan Lai Shanzhang menduduki tangga kedua berbanding pelumba negara iaitu Mohd Najib Turano, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dan Zuhairi Tarmizi Ahmad di tempat kelapan di Kejohanan Basikal Trek Para Dunia 2018 di Rio de Janeiro, Brazil, pada Mac lalu.

"Alhamdulillah, segala persiapan kini berjalan lancar seperti dirancang oleh jurulatih dan berharap kami dapat memberikan persembahan terbaik serta mencapai kemuncak prestasi pada hari perlumbaan sebenar nanti.

"Walaupun ditetapkan sasaran menang pingat perak menerusi acara pecut berpasukan campuran tetapi matlamat peribadi saya adalah untuk menang sekurang-kurang satu emas kepada rakyat Malaysia hasil daripada lima acara disertai saya di Sukan Para Asia Jakarta 2018," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Difahamkan, Mohd Najib dijangka turun beraksi dalam lima acara termasuk tiga acara trek iaitu 1km, 4km dan pecut berpasukan campuran, selain dua acara lebuh raya (lepas beramai-ramai dan ujian masa individu).

Berikutan itu, Mohd Najib berharap rakyat Malaysia mendoakan supaya impiannya untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas di Sukan Para Asia Jakarta 2018 dapat direalisasikan tidak lama lagi. 

Nama Mohd Najib mula meniti di bibir peminat lumba basikal negara selepas berjaya meraih empat emas, masing-masing dua dalam acara lebuh raya dan trek Sukan Para KL2017, sekali gus membolehkannya membawa pulang RM50,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 7:44 PM