Sadek (kiri) harap Akademi Mokhtar Dahari akan pecat segera seperti dilakukan FAM. Foto fail HM Digital
Sadek (kiri) harap Akademi Mokhtar Dahari akan pecat segera seperti dilakukan FAM. Foto fail HM Digital
Firdaus Hashim

 

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disaran segera memecat Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim selepas bekas penolong jurulatih akademi Bayern Munich itu gagal memacu skuad bawah 16 (B-16) tahun negara layak ke Piala Dunia B-17 di Peru Oktober tahun depan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang juga majikan kepada Teong Kim seharusnya mengambil keputusan drastik seperti dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memecatnya sejurus tewas 0-2 di tangan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan A Khamis lalu.

Kata Sadek, KBS mempunyai banyak sebab untuk menamatkan khidmat Teong Kim termasuk soal gaji RM175,000 sebulan yang cukup lumayan diterima bekas pemain kebangsaan itu sejak bersama NFDP pada 2014.

"Apa (KBS) tunggu lagi, kalau ada maruah beliau akan pergi (letak jawatan) tapi dalam konteks ini beliau tak ada maruah dan menteri mesti berani pecat dia," kata Sadek yang berpandangan Teong Kim gagal menguruskan aspek emosi di kalangan pemainnya.

"Dalam Sains Sukan, elemen seperti emosi, kerohanian dan intelektual sangat berhubung kait dengan sukan, dan beliau yang sudah bertahun di Jerman sepatutnya menerapkan elemen ini kepada anak buahnya.

"Kalau dilihat daripada segi permainan, kemahiran dan taktikal pemain B-16 amat baik sekali. Cuma mereka tidak berjaya mengawal emosi ketika bermain dan sebab itu kita dapat lihat pada perlawanan pertama penjaga gol menerima kad merah, begitu juga penjaring terbanyak pasukan turut menerima nasib sama pada aksi kedua.

"Jika aspek emosi ini diajar dengan betul, saya percaya mereka tidak akan melakukan kesilapan-kesilapan mudah ketika perlawanan. Ini kelemahan yang masih wujud dan saya fikir beliau jelas gagal menerapkan falsafah bola sepak moden yang turut menekankan aspek ‘mengurangkan kesilapan’ dalam permainan," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Tindakan Teong Kim yang meletakkan sendiri sasaran wajib beraksi di Piala Dunia pada 2019 akhirnya ‘memakan diri sendiri’ selepas Malaysia gagal melangkah ke suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-16 yang menyaksikan skuad negara menghuni tangga tercorot kumpulan dengan tiga mata.

Susulan daripada kegagalan itu, FAM memecat Teong Kim manakala Syed Saddiq pula sekadar meminta beliau bertanggungjawab terhadap kegagalan itu.

Malah, Syed Saddiq menegaskan pihaknya akan menilai kembali kontraknya yang akan berakhir pada 2020 memandangkan gajinya mencecah RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai.

"Beliau adalah contoh kegagalan sebenar yang tak mahu mengaku bahawa itu adalah kegagalan. KBS boleh menggaji calon lain untuk meneruskan perjalanan NFDP dan membolehkan menerima ilmu baharu serta hala tuju baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 3:16 PM