AKSI pemain B-16 ketika menentang Jepun pada Kejuaraan B-16 AFC. -Foto BERNAMA
AKSI pemain B-16 ketika menentang Jepun pada Kejuaraan B-16 AFC. -Foto BERNAMA
Rodly Fadly


KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Datuk Khaidir Buyong menganggap kegagalan Malaysia pada Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), baru-baru ini padah yang perlu ditanggung Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana sikap kementerian itu yang tidak mahu mendengar kata.

Khaidir mendedahkan, beliau bersama beberapa jurulatih sudah menegur kelemahan projek Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dalam satu pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar namun pandangan mereka seolah-olah dipandang sepi.

“Saya bersama beberapa orang jurulatih dipanggil KBS untuk memberikan pandangan mengenai projek itu. Kedua-dua pihak bertukar pendapat, banyak pandangan positif yang kami kongsi dengan KBS berdasarkan pengalaman kami sebagai pemain dan jurulatih.

“Saya sendiri ada menyuarakan beberapa perkara yang saya fikir tidak betul. Antaranya, saya menegur keputusan KBS menggunakan jurulatih tidak berpengalaman untuk mengendalikan program itu.

“Kita mempunyai ramai bekas pemain dan jurulatih berpengalaman serta mempunyai rekod baik. Mengapa mereka tidak digunakan untuk membantu (Lim) Teong Kim?

“Tapi, selepas pertemuan itu, tiada tindakan diambil, seolah-olah menteri tidak mahu mendengar cakap kami. Sekarang, apa sudah jadi, saya dah cakap tapi tak nak dengar, tanggunglah akibatnya,” tempelak Khaidir.

Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan apabila menduduki tangga tercorot selepas hanya mengumpul tiga mata hasil kemenangan 6-2 ke atas Tajikistan sebaliknya tewas 2-4 kepada Thailand dan 0-2 di tangan Jepun.

Kegagalan itu sekali gus meranapkan impian Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan.

Bekas jurulatih yang pernah membimbing Selangor serta menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan itu bersetuju dengan pandangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa Teong Kim perlu bertanggungjawab atas kegagalan itu.

“Bagi saya, selepas mengeluarkan berpuluh-puluh juta ringgit termasuk gaji RM175,000 sebulan kepada Teong Kim, sudah tentu hasilnya tidak setimpal dengan apa yang sudah kita laburkan.

“Walaupun selama ini kita berbangga dengan pencapaian Teong Kim bersama Bayern Munich namun hakikatnya di sini, beliau sudah gagal. Memang betul, saya setuju macam kata menteri, Teong Kim kena bertanggungjawab.

“Saya harap KBS belajar daripada kesilapan itu. Kalau masih mahu meneruskan NFDP, mereka perlu mencari jurulatih lain,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 12:20 PM