PEMAIN Argentina, Eric Lamela (kanan) bersama rakan sepasuka, Lionel Messi. FOTO Agensi
PEMAIN Argentina, Eric Lamela (kanan) bersama rakan sepasuka, Lionel Messi. FOTO Agensi
Agensi

LONDON: Bintang Barcelona, Lionel Messi ialah pemain yang sukar dicari ganti dan dunia bola sepak tidak akan menemui bintang sepertinya lagi, kata rakan sepasukannya di Argentina, Erik Lamela.

Messi meledak hatrik pada aksi pembuka tirai kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang PSV, minggu ini manakala dalam saingan La Liga, penyerang itu sudah meledak empat gol dalam empat perlawanan.

Ketika prestasi cemerlangnya bersama kelab berterusan, Messi gagal mencetus inspirasi terhadap kejayaan Argentina di pentas antarabangsa dengan skuad kendalian Jorge Sampaoli tersingkir di peringkat 16 terakhir Piala Dunia 2018.

Kekecewaan di pentas antarabangsa jelas mengganggu karier Messi dengan pemain berusia 31 tahun itu tewas dalam tiga final kejohanan utama termasuk dua di Copa America selain Piala Dunia 2014.

Keputusan itu menyaksikan Messi membuat keputusan ‘berehat sementara’ daripada kancah antarabangsa menentang Guatemala dan Colombia, bulan ini tetapi Lamela yang beraksi bersama Tottenham tidak pernah meragui kualiti yang dimiliki kapten Barca itu.

“Leo jelas pemain yang amat penting bagi kami, untuk segala-gala yang dia boleh berikan sebagai pemain dan rakan sepasukan,” kata Lamela ketika pelancaran FIFA19. 

“Memilikinya dalam pasukan amat penting. Kami semua mengetahui dia adalah yang terbaik di dalam padang dan sentiasa menjadi tambahan untuk kami memenangi perlawanan.

“Apabila saya melihatnya bermain, dan berlatih bersamanya, dia adalah pemain paling baik pernah saya lihat sejak saya bermain bola sepak.

“Selepas perlawanan, orang boleh melihat apa yang dia lakukan, betapa mudah dia menjaringkan gol, umpanan, dan membuat apa yang ingin dia lakukan di dalam padang.

“Sejujur-jujurnya, tidak akan ada lagi pemain sepertinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 12:20 PM