ROBERT LEWANDOWSKI
ROBERT LEWANDOWSKI
AFP

BERLIN: Robert Lewandowski bakal meraikan penampilan ke-200 bersama Bayern Munich minggu ini dengan bintang Poland itu dilihat mahu meneruskan ledakan prestasinya pada awal musim ini apabila Bayern dijadual melayan kunjungan Bayer Leverkusen, esok.

Lewandowski yang sudah meledak 157 goal dalam 199 penampilan dalam karier bersama Bayern setakat ini, melakukan enam jaringan dalam perlawanan kompetitif musim ini dan dianggap sebagai pilihan utama untuk meraih gelaran penjaring terbanyak Bundesliga kali ini.

Seiring dengan Schalke dan RB Leipzig, Leverkusen adalah salah satu pasukan utama yang mengharapkan kebangkitan semula selepas berdepan permulaan musim hambar.

Selain itu, pemain yang dipinjamkan Barcelona, Paco Alcacer dilihat bakal membuat kemunculan pertama bersama Borussia Dortmund apabila kelab berkenaan bakal bertemu Eintracht Frankfurt, awal pagi esok manakala pengendali tertua dan termuda di Bundesliga bakal bertemu di Duesseldorf.

“Bayern adalah yang terbaik tetapi kami perlu ke sana dan melihat apakah peluang yang kami ada,” kata jurulatih Leverkusen, Heiko Herrlich.

Sementara itu, Alcacer berharap dapat diturunkan buat kali pertamanya bersama Dortmund selepas menyertai pasukan secara pinjaman daripada Barcelona.

Dortmund dalam pada itu berharap bekas pemain Valencia itu dapat menyelesaikan masalah di bahagian serangan tengah.

“Paco akan bergabung dengan baik bersama rakan pasukannya dan mempunyai skil yang bagus di hadapan gawang,” kata jurulatih Dortmund, Lucien Favre.

Dortmund juga dijadual beraksi tanpa pemain antarabangsa Amerika Syarikat, Christian Pulisic yang masih bergelut dengan masalah otot.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 8:02 AM